
JULAU: Penduduk Julau didedahkan dengan latihan keselamatan kebakaran menerusi penubuhan pasukan Bomba Komuniti di Ulu Bejawai, Sangkong semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, latihan tersebut diadakan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi sebarang insiden kebakaran terutama ketika musim perayaan.
“Penubuhan pasukan Bomba Komuniti penting bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai aspek keselamatan kebakaran selain memberi pendedahan awal mengenai tindakan kecemasan.
“Latihan yang dijalankan di Rumah Philip Janting, Ulu Bejawai, Sangkong itu melibatkan seramai 20 penduduk rumah panjang dan 10 daripada jumlah tersebut adalah anggota Bomba Komuniti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, beliau dan dua anggota bomba mengendalikan latihan tersebut.
“Antara pengisian aktiviti termasuklah pendaftaran pasukan Bomba Komuniti, taklimat kesedaran kebakaran serta latihan menggunakan hos dan pili bomba.
“Peserta turut diberikan latihan pengendalian kebakaran dapur, latihan asas menyelamat dan pengungsian bangunan bagi meningkatkan kefahaman mereka dalam menghadapi situasi kecemasan,” katanya.
Tambahnya, latihan secara praktikal amat penting supaya masyarakat lebih yakin dan bersedia bertindak sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan di kawasan kediaman mereka.
“Kerjasama erat antara komuniti dan pihak bomba mampu membantu mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda sekiranya berlaku kebakaran,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek