

PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak menegaskan cadangan penyusunan semula zon gunatanah di Estet Perindustrian Pending tidak akan menjejaskan operasi pengusaha industri sedia ada, sebaliknya dilaksanakan secara berperingkat dengan pendekatan menang-menang serta perancangan rapi.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaksanaan itu berasaskan dapatan kajian atas talian yang dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) serta Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR).
“Kaji selidik atas talian yang dilaksanakan menjadi asas penting dalam meneliti semula profil serta keperluan operasi industri di kawasan berkenaan.
“Kajian serta perancangan semula yang dilaksanakan kerajaan adalah untuk memastikan pembangunan kawasan industri lebih tersusun, moden dan mampan selaras dengan pertumbuhan pesat bandar raya Kuching.
“Pendekatan ini tidak bertujuan menyingkirkan mana-mana pengusaha secara drastik. Mana-mana industri yang boleh dikekalkan akan terus dikekalkan, manakala yang perlu dipindahkan akan ditempatkan semula di kawasan lebih sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Menurutnya, kawasan Pending ketika ini menempatkan pelbagai jenis industri termasuk industri berat, sederhana dan ringan, berasaskan kayu, perkapalan serta aktiviti yang berpotensi memberi kesan terhadap alam sekitar.
Awang Tengah menjelaskan, penyusunan semula itu merupakan perancangan jangka panjang kerajaan bagi memastikan nilai ekonomi kawasan berkenaan terus meningkat selain mewujudkan persekitaran industri yang lebih teratur dan berdaya saing.
“Penolakan terhadap usaha penyusunan semula hanya akan menyebabkan kawasan industri terus berada dalam keadaan tidak terurus serta tidak selari dengan aspirasi pembangunan bandar moden dan pintar,” ujarnya.
Terdahulu, Violet Yong (DAP-Pending) menyatakan kawasan perindustrian itu merupakan hab industri aktif yang telah lama dibangunkan oleh syarikat tempatan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain membangkitkan isu kekurangan maklumat jelas kepada pemain industri termasuk lokasi penempatan semula sekiranya pemindahan dilaksanakan.
Katanya, pemain industri turut mempersoalkan lokasi kawasan industri gantian yang mempunyai infrastruktur, utiliti dan sistem logistik yang sesuai, selain implikasi kos pemindahan termasuk pembongkaran mesin, pembinaan semula kilang serta gangguan operasi perniagaan.
Oleh Adele Rissa