
CERPEN merupakan salah satu cabang sastera yang paling dekat dengan kehidupan masyarakat kerana sifatnya yang ringkas, padat dan mampu menyampaikan makna yang mendalam dalam ruang penceritaan yang terbatas.
Walaupun pendek, sesebuah cerpen yang berkualiti mampu meninggalkan kesan emosi dan pemikiran yang panjang kepada pembaca. Perkara yang sama disampaikan oleh para pembentang sewaktu kolokium genre cerpen – “Ada Apa Dengan Cerpen?” – yang bertempat di DBP Kuala Lumpur pada 13 Mei yang lalu.
Saya sering menjadikan pandangan Edgar Allan Poe sebagai sandaran bahawa cerpen yang baik ialah karya yang mampu menghasilkan satu kesan emosi yang menyeluruh dan kuat kepada pembaca dari awal hingga akhir pembacaan.
Pandangan ini menunjukkan bahawa kekuatan cerpen bukan semata-mata terletak pada panjang cerita tetapi pada kemampuan pengarang membina suasana, konflik dan emosi secara berkesan.
Antara contoh cerpen yang sering dianggap berjaya meninggalkan satu kesan emosi yang menyeluruh dan kuat kepada pembaca ialah “The Lottery” karya Shirley Jackson.
Cerpen ini terkenal kerana berjaya membina suasana biasa dan tenang pada permulaannya sebelum perlahan-lahan berubah menjadi menegangkan dan mengejutkan pada penghujung cerita.
Pembaca dibawa merasai rasa tidak selesa, curiga dan akhirnya terkejut dengan pengakhiran tragis yang memperlihatkan kekejaman masyarakat atas nama tradisi.
Kesan emosi itu kekal dalam fikiran pembaca walaupun selepas cerita tamat. Inilah yang dimaksudkan oleh Edgar Allan Poe sebagai “single effect”, iaitu kesan emosi yang dibina secara konsisten sepanjang cerita.
Dalam kesusasteraan Melayu pula, karya-karya Shahnon Ahmad juga sering dianggap berjaya meninggalkan kesan emosi yang mendalam kepada pembaca. Contohnya cerpen “Pungut”.
Cerpen ini mengisahkan tentang seorang anak cacat bernama Pungut yang dipelihara dengan penuh kasih sayang oleh ibunya walaupun dipandang hina oleh masyarakat.
Pengarang menggunakan bahasa yang sederhana tetapi sangat menyentuh hati sehingga pembaca dapat merasakan penderitaan, kasih ibu dan ketabahan hidup watak tersebut. Dari awal hingga akhir, pembaca dibawa melalui rasa simpati, sedih dan akhirnya renungan tentang nilai kemanusiaan.
Cerpen-cerpen seperti ini menjadi contoh penting kepada penulis baharu kerana ia membuktikan bahawa kekuatan sesebuah cerpen bukan terletak pada plot yang terlalu rumit, tetapi pada kemampuan pengarang membina hubungan emosi antara pembaca dengan watak dan konflik cerita secara konsisten dari awal hingga akhir.
- Samad Said pula pernah menegaskan bahawa karya sastera yang bermutu harus mampu menyentuh sisi kemanusiaan dan menjadi cerminan kehidupan masyarakat. Hal ini bermaksud sesebuah cerpen bukan sekadar hiburan tetapi wahana untuk menyampaikan nilai, persoalan dan renungan terhadap kehidupan manusia.
Berdasarkan pandangan tersebut, cerpen “Lelucon” karya Raja Nazran Shah dapat dilihat sebagai sebuah karya yang berjaya mengangkat nilai kemanusiaan melalui penceritaan yang sederhana tetapi menyentuh jiwa.
Cerpen ini mengangkat kisah seekor kucing bernama Lelucon yang menjadi mangsa racun ubat gegat akibat dendam manusia. Walaupun tema sebegini kelihatan mudah, pengarang berjaya menjadikannya sebuah naratif yang sarat dengan nilai kemanusiaan, kasih sayang dan ketabahan hidup.
Melalui teknik penceritaan yang lembut dan simbolik, cerpen ini bukan sahaja berjaya menyentuh hati pembaca, malah boleh dijadikan contoh kepada penulis baharu tentang bagaimana karya yang sederhana mampu menjadi kuat apabila digarap dengan jiwa dan kepekaan.
Dalam dunia kesusasteraan, haiwan sering digunakan sebagai simbol untuk mencerminkan sifat manusia. Hal ini dapat dilihat dalam karya George Orwell melalui Animal Farm dan juga karya-karya Leo Tolstoy yang banyak menekankan nilai belas ihsan terhadap makhluk lain.
Dalam konteks cerpen “Lelucon”, pengarang menggunakan watak seekor kucing sebagai medium untuk membicarakan persoalan empati, penderitaan dan kasih sayang manusia. Kucing dalam cerpen ini bukan sekadar haiwan peliharaan tetapi simbol jiwa yang tabah menghadapi kesakitan hidup.
Kekuatan utama cerpen ini terletak pada binaan plotnya yang kemas dan tersusun. Plot bergerak secara linear bermula daripada kelahiran Lelucon di dalam almari Shahril, perkembangan hubungan antara manusia dan haiwan itu, tragedi racun ubat gegat, penderitaan akibat sawan dan akhirnya kematian Lelucon.
Struktur plot seperti ini memudahkan pembaca mengikuti perkembangan cerita tanpa mengalami kekeliruan. Bagi penulis baharu, hal ini sangat penting kerana plot yang terlalu kompleks tanpa kawalan sering menyebabkan cerita menjadi berserabut.
Walaupun menggunakan plot linear, pengarang tidak menjadikan cerita ini membosankan. Sebaliknya, beliau menyelitkan unsur saspens secara perlahan-lahan.
Contohnya, ketika muncul adegan seseorang meletakkan “ketulan-ketulan bulat berwarna putih” di sekitar rumah sambil menyimpan dendam, pembaca mula berasa tidak sedap hati.
Pengarang tidak terus memberitahu bahawa objek itu ialah racun ubat gegat. Teknik penangguhan maklumat ini berjaya menimbulkan rasa ingin tahu dan membuatkan pembaca terus mengikuti cerita.
Dari sudut teori sastera, teknik ini menepati konsep binaan konflik yang dikemukakan oleh Gustav Freytag dalam teori piramid plotnya.
Menurut Freytag, sesebuah cerita perlu berkembang daripada eksposisi kepada konflik, kemudian meningkat ke klimaks sebelum bergerak ke peleraian. Dalam “Lelucon”, pengarang berjaya membina suasana damai pada awal cerita sebelum perlahan-lahan membawa pembaca kepada tragedi yang menyakitkan.
Namun begitu, dari sudut penilaian ilmiah, binaan plot cerpen ini masih mempunyai ruang untuk diperkukuh. Konflik utama sebenarnya sangat kuat, tetapi perkembangan watak antagonis kurang diberikan perhatian.
Pembaca hanya mengetahui bahawa individu tersebut berdendam kerana barangnya dirosakkan. Walau bagaimanapun, pengarang tidak memperlihatkan secara terperinci bagaimana rasa marah itu berkembang sehingga membawa kepada tindakan meracun haiwan. Akibatnya, watak antagonis kelihatan terlalu ringkas dan agak stereotaip.
Sebagai cadangan penambahbaikan, pengarang boleh menambah beberapa adegan kecil sebelum tragedi berlaku. Misalnya, diperlihatkan bahawa Eli atau anak-anak kucing sering memasuki bilik Zaidil dan merosakkan barang penting miliknya.
Dengan cara itu, tindakan watak antagonis akan lebih meyakinkan walaupun pembaca tetap tidak bersetuju dengan tindakannya.
Penulis baharu perlu memahami bahawa antagonis yang baik bukan sekadar watak jahat, tetapi watak yang mempunyai sebab dan konflik dalaman yang kuat.
Selain plot, kekuatan besar cerpen ini juga terletak pada olahan bahasanya. Bahasa yang digunakan sangat lembut, puitis dan kaya dengan unsur deskriptif. Pengarang berjaya membina suasana melalui deria bau, sentuhan dan penglihatan.
Misalnya, penggunaan imej “bau lavender” yang muncul sejak awal cerita bukan sahaja menggambarkan suasana nyaman tetapi menjadi simbol kasih sayang dan perlindungan yang dirasai oleh Lelucon sejak kecil.
Teknik simbolisme seperti ini memperlihatkan kematangan pengarang dalam mengolah bahasa.
Penggunaan simbol dalam karya sastera sangat penting kerana ia menjadikan cerita lebih mendalam dan tidak terlalu langsung. Dalam “Lelucon”, lavender menjadi lambang ketenangan, manakala kain putih yang digunakan ketika kelahiran dan pengebumian Lelucon menjadi simbol kitaran hidup dan kematian.
Simbolisme sebegini mengingatkan pembaca kepada gaya penulisan Anwar Ridhwan yang terkenal dengan penggunaan lambang dan suasana untuk menyampaikan makna tersirat.
Pengarang juga bijak menggunakan personifikasi bagi memperkuat kesan emosi. Contohnya, frasa “sawan ini tidak mahu menghentikan tariannya” menjadikan penderitaan Lelucon terasa hidup dan menyakitkan.
Teknik bahasa seperti ini sangat berguna kepada penulis baharu kerana akan menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah karya tidak semestinya terletak pada bahasa yang terlalu berat tetapi pada kemampuan bahasa itu membangkitkan rasa.
Namun begitu, olahan bahasa cerpen ini juga mempunyai beberapa kelemahan kecil. Antaranya ialah pengulangan frasa tertentu seperti “comel dan lucu” yang terlalu kerap digunakan.
Pada awalnya, pengulangan ini berkesan untuk membina identiti watak Lelucon, tetapi apabila terlalu banyak diulang, kesannya menjadi sedikit sentimental dan kurang segar.
Pengarang boleh mempelbagaikan deskripsi dengan menggambarkan tingkah laku atau ekspresi Lelucon secara lebih kreatif.
Selain itu, terdapat beberapa dialog yang kedengaran agak formal. Misalnya, dialog doktor tentang kerosakan saraf Lelucon lebih menyerupai penerangan fakta berbanding percakapan biasa.
Dalam penulisan kreatif, dialog yang terlalu formal boleh mengurangkan rasa realistik sesebuah cerita.
Penulis baharu perlu belajar bahawa dialog yang baik ialah dialog yang kedengaran hidup dan semula jadi, seolah-olah dituturkan secara realistik oleh manusia dalam kehidupan harian.
Dari aspek watak dan perwatakan, “Lelucon” berjaya membina watak-watak yang mudah meninggalkan kesan kepada pembaca walaupun jumlahnya tidak ramai.
Lelucon sendiri merupakan watak paling menonjol dalam cerita ini. Walaupun hanya seekor kucing, pengarang berjaya menjadikannya simbol ketabahan hidup.
Setelah diracun dan mengalami kerosakan saraf, Lelucon tetap mahu terus hidup demi insan yang menyayanginya. Hal ini menjadikan watak tersebut sangat dekat dengan jiwa pembaca.
Watak Shahril pula melambangkan sifat belas ihsan manusia. Pada awalnya, dia marah kerana almari dan bajunya dipenuhi darah kelahiran anak-anak kucing tetapi perasaan itu berubah menjadi kasih sayang apabila melihat kecomelan mereka.
Perubahan emosi ini sangat natural dan memperlihatkan perkembangan watak yang baik.
Farah pula hadir sebagai watak yang lembut hati dan penyayang. Kehadirannya memberikan keseimbangan emosi dalam cerita. Dia bukan sahaja membantu menjaga Lelucon malahan menjadi simbol empati dan kasih sayang tanpa syarat.
Walau bagaimanapun, watak Farah sebenarnya boleh dikembangkan dengan lebih mendalam. Pengarang boleh memasukkan sedikit latar belakang tentang mengapa dia begitu menyayangi haiwan.
Penambahan dimensi seperti ini akan menjadikan wataknya lebih hidup dan tidak sekadar menjadi “watak baik”.
Watak Zaidil pula sangat menarik dari sudut psikologi. Namun, potensinya tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Pengarang hanya memberikan bayangan bahawa dialah individu yang bertanggungjawab terhadap tragedi racun ubat gegat.
Teknik ini memang berjaya menimbulkan misteri. Pembaca akhirnya tertanya-tanya apakah yang berlaku kepada watak itu selepas kematian Lelucon. Adakah dia menyesal? Adakah dia sedar tindakannya membawa maut? Persoalan ini dibiarkan tergantung.
Sebagai penambahbaikan, pengarang boleh memasukkan satu adegan refleksi atau penyesalan daripada Zaidil pada penghujung cerita. Teknik ini bukan sahaja akan memperkuat mesej moral cerita tetapi menjadikan antagonis lebih manusiawi. Dalam karya yang baik, antagonis bukan sekadar alat konflik tetapi cerminan sisi gelap manusia itu sendiri.
Dari aspek tema, cerpen ini sangat berjaya mengangkat nilai kemanusiaan. Hubungan antara manusia dan haiwan dijadikan medium untuk memperlihatkan kasih sayang, tanggungjawab dan kesetiaan.
Dalam masyarakat moden yang semakin individualistik, cerpen ini hadir sebagai peringatan bahawa rasa belas terhadap makhluk lain merupakan sebahagian daripada nilai kemanusiaan.
Pendekatan ini selari dengan pemikiran A. Samad Said yang sering menegaskan bahawa sastera harus menyentuh jiwa masyarakat dan membuka ruang renungan terhadap kehidupan.
Lelucon bukan sekadar cerita tentang seekor kucing, tetapi turut mencakupi tentang bagaimana manusia memilih untuk bertindak sama ada dengan kasih sayang atau dengan kebencian.
Selain itu, kejayaan pada cerpen ini juga menyentuh dari aspek emosi yang menjadi kekuatan utamanya. Pembaca tidak dipaksa untuk bersedih tetapi dibawa perlahan-lahan untuk menyayangi Lelucon sebelum akhirnya merasai kehilangan tersebut.
Teknik ini sangat penting dalam penulisan kreatif. Penulis baharu harus belajar bahawa emosi yang kuat tidak lahir melalui tangisan atau kata-kata sedih semata-mata. Emosi juga melonjak dan membuak melalui hubungan yang berjaya dibina antara pembaca dengan watak.
Walaupun begitu, terdapat beberapa bahagian yang terasa sedikit melodramatik terutama pada penghujung cerita ketika kematian Lelucon. Pengarang terlalu menekankan unsur kesedihan sehingga sebahagian pembaca mungkin merasakan emosi itu sedikit dipaksa; tidak berlaku secara alamiah.
Penulis baharu perlu memahami bahawa kadangkala kesedihan yang ditulis secara sederhana lebih memberi kesan berbanding kesedihan yang terlalu dijelaskan.
Secara keseluruhannya, “Lelucon” ialah sebuah cerpen yang berjaya dari segi emosi, simbolisme dan penyampaian nilai kemanusiaan. Pengarang berjaya membina cerita yang sederhana tetapi meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.
Kekuatan utamanya terletak pada bahasa yang puitis, penggunaan sudut pandangan unik dan simbolisme yang halus tetapi bermakna.
Walaupun masih terdapat beberapa kelemahan seperti perkembangan antagonis yang terhad, pengulangan deskripsi tertentu dan beberapa dialog yang agak formal, kelemahan tersebut tidak menenggelamkan mutu keseluruhan karya ini.
Akhirnya, cerpen “Lelucon” membuktikan bahawa karya yang baik tidak semestinya lahir daripada cerita yang besar dan rumit tetapi daripada kejujuran emosi dan ketelitian pengarang memerhati kehidupan.
Kekuatan sesebuah cerpen terletak pada kemampuan penulis menyentuh hati pembaca dan meninggalkan kesan yang berpanjangan.
Seperti yang pernah diungkapkan oleh Ernest Hemingway, “Kita semua ialah perantis dalam dunia penulisan yang tiada penghujungnya.”
Oleh itu, penulis baharu tidak harus takut untuk terus bereksperimen, menerima kritikan dan memperbaiki kelemahan karya.
Hanya melalui proses menulis yang berterusan, mata pena akan menjadi semakin tajam dan matang dalam menanggapi kehidupan serta manusia di sekelilingnya.
Oleh Abang Median Abang Said