Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • JBPM sasar 100 peratus pengisian Pasukan Khas, Sarawak terima agihan logistik terbesar
  • TEMPATAN

JBPM sasar 100 peratus pengisian Pasukan Khas, Sarawak terima agihan logistik terbesar

Utusan Sarawak 4 hours ago
JAMRI merakamkan gambar pada Majlis Perhimpunan Bulanan Tahun 2026 JBPM Sarawak bertempat di BBP Sri Aman, pagi ini. Foto: Adi Safarman

SIMANGGANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) komited memperkukuh pasukan khas serta fasiliti kebombaan di seluruh negara bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berimpak tinggi menjelang 2027.

Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran berkata, usaha pengukuhan itu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama iaitu pemerkasaan pasukan khas, penyediaan kelengkapan logistik moden serta penambahbaikan kebajikan anggota melalui penyediaan prasarana yang lebih kondusif.

Menurut beliau, JBPM menyasarkan pengisian 100 peratus perjawatan bagi semua pasukan khas jabatan menjelang tahun hadapan bagi mendepani cabaran operasi yang semakin kompleks dan mencabar.

Katanya, setakat ini Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dan Pasukan Ancaman Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Letupan (CBRNe) mencatatkan pengisian sebanyak 91 peratus dengan 510 daripada 561 jawatan telah diisi, manakala Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mencapai 66 peratus pengisian dengan 615 daripada 935 jawatan telah dipenuhi.

KETUA Zon 3 JBPM Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan menyampaikan cenderahati kepada Jamri. Foto: Adi Safarman

“Seramai 100 anggota baharu PPDA kini dalam proses pentauliahan, sementara Unit Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) masih mempunyai baki 18 peratus kekosongan daripada keseluruhan 1,782 jawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Tahun 2026 JBPM Sarawak bertempat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pagi ini.

Mengulas lanjut, Jamri berkata, Pasukan Unit Rondaan Dan Respons Pantas (RIM) pula hanya berbaki tujuh peratus kekosongan iaitu 23 daripada 315 jawatan, manakala Unit Pengesan K9 masih memerlukan pengisian 10 jawatan melibatkan lapan di Kuala Lumpur, satu di Sabah dan satu di Sarawak.

Dari segi logistik, beliau berkata, selepas pengagihan 30 unit Fire Rescue Tender (FRT) dan 40 unit Kenderaan Operasi Ringan (LOV) sebelum ini, JBPM bakal menerima baki 160 unit LOV lagi secara berperingkat.

“Sarawak merupakan antara negeri yang bakal menerima agihan LOV paling banyak iaitu sebanyak 25 unit bagi menyokong pengoperasian di kawasan yang mencabar,” katanya.

Jamri turut memaklumkan bahawa JBPM sedang melaksanakan perolehan sebanyak 6,000 pasang pakaian kalis api atau Fire Resistant Suit (FRS) bertaraf antarabangsa sepanjang 2026 dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang 2027 bagi meningkatkan keselamatan anggota ketika bertugas.

JAMRI merakamkan gambar bersama ‘Hero Bomba’ yang diberikan sijil penghargaan. Foto: Adi Safarman

Menyentuh aspek kebajikan anggota, beliau berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan RM10 juta di bawah Belanjawan 2026 bagi penyelenggaraan 1,545 unit kuarters bomba melibatkan 107 projek di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 169 unit kuarters terletak di Sarawak, selain JBPM turut memohon tambahan peruntukan RM10 juta lagi daripada Kementerian Kewangan untuk tujuan sama.

Dalam pada itu, katanya, sejumlah RM10 juta turut diperuntukkan melalui Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB) bagi penyediaan kemudahan sukan, rekreasi dan penyelenggaraan balai di bawah Arahan Pengurusan Bilangan 1 Tahun 2025.

Khusus bagi Sarawak, Jawatankuasa Akaun Amanah KWKB turut meluluskan dana berjumlah RM123,632.42 bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan kemudahan surau di balai-balai JBPM negeri itu.

Jamri berkata, 2026 juga amat signifikan buat JBPM apabila jabatan itu meraikan Ulang Tahun ke-50 atau Jubli Emas penyatuan perkhidmatan bomba negeri-negeri di bawah Kerajaan Persekutuan yang bermula pada 1 Januari 1976.

JAMRI bergambar bersama pengamal media yang telah menerima sijil penghargaan mereka. Foto: Adi Safarman

Sempena sambutan lima dekad itu, JBPM memperkenalkan pendekatan ‘KITA BOMBA’ yang berpaksikan lima prinsip utama iaitu Brave, Ombudsman, Merit, Bold Brand dan Achievement.

Beliau berkata, keunikan operasi di Sarawak yang memerlukan anggota merentas sungai, hutan dan bentuk muka bumi mencabar bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kerja demi keselamatan masyarakat.

Jamri turut merakamkan penghargaan kepada tujuh individu dikenali sebagai ‘Hero Bomba’ yang mempamerkan keberanian dan semangat kesukarelawanan luar biasa dalam membantu operasi pemadaman kebakaran di sekitar Zon Sri Aman dari 2024 hingga Februari 2026.

JAMRI menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pengamal media dan ‘Hero Bomba’. Foto: Adi Safarman

Beliau turut menghargai peranan media sebagai rakan strategik JBPM dalam menyampaikan maklumat sahih, hebahan keselamatan serta membantu memperkukuhkan imej jabatan di mata masyarakat.

Turut hadir Ketua Zon 3 JBPM Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan; Ketua BBP Sri Aman, Andrew Vengitasamy serta ketua-ketua balai dan anggota bomba dari Zon 3 JBPM Sarawak.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: Pertandingan Keling Belawan lambang warisan dan identiti masyarakat berbilang kaum di Sarawak
Next: Hadapilah dengan tenang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.