‘EVERY night in my dreams, I see you, I feel you. That is how I know you go on’.
Rangkap awal lagu dendangan Celine Dion dalam filem Titanic ini mampu menyingkap kembali ingatan kita dengan babak-babak cinta dan tragis dalam filem ini.
Malah rekabentuk kapal Titanic juga dijadikan sebagai inspirasi dan idea kreatif oleh seorang pengusaha warung untuk mengubah sendiri warungnya seperti replika kapal.
Osman Jalaini Rambli, 46, pengusaha warung dari Kampung Selalang berkata, dia mula membina replika kapal di warungnya sejak dua bulan lalu.
Hasil dari idea kreatifnya telah menarik kehadiran pelanggan di warungnya yang terletak di tebingan sungai Kampung Selalang.
Warung milik Osman juga kini lebih dikenali oleh penduduk dan pelanggan dari luar Kampung Selalang sebagai Titanic Selalang.
“Saya membina replika rangka kapal ini tanpa bantuan sesiapa. Saya bersyukur kerana usaha saya tidak sia-sia dan mendapat sokongan padu dari isteri dan anak-anak saya.
“Mulanya, saya hanya ingin menambah besar bahagian hujung warung saya bagi menyediakan lebih keselesaan kepada pelanggan yang datang.
“Ketika itu, saya hanya bercadang untuk membuat reka bentuk biasa dan kemudiannya saya terfikir untuk membina hujungnya seperti hujung kapal,” katanya.
Bapa kepada lima orang cahaya mata ini berkata demikian ketika dihubungi penulis, semalam.
Katanya, ia juga berkemungkinan kerana dia meminati filem Titanic.
“Sebaik sahaja mendapat idea ini, saya berusaha mengumpul lebih 20 batang kayu yang sesuai bagi tujuan membina replika hujung kapal.
“Warung saya mula beroperasi sejak dua tahun lalu dan dibuka kepada orang ramai pada Isnin hingga Rabu bermula jam 4 petang hingga 10.30 malam, pada Khamis tidak beroperasi dan Jumaat hingga Ahad dibuka jam 2 petang hingga jam 10.30 malam.
“Buat masa ini, demi mencegah penularan wabak pandemik Covid-19, operasi warung saya ditutup sementara waktu,” ujarnya.
Tambahnya, beliau bercadang untuk membesarkan hujung gerai ini ketika musim kekurangan ikan dua bulan lalu.
“Pada masa itu, saya tidak turun ke laut dan kesempatan tersebut saya manfaatkan untuk membesarkan warung bagi menampung pertambahan jumlah pelanggan.
“Sebahagian besar pelanggan di warung saya adalah penduduk tempatan, namun ada juga pengunjung yang datang dari luar kampung.
“Lebih menggembirakan apabila warung ini juga menjadi tempat penduduk kampung berkumpul sambil mengeratkan silaturahim,” katanya lagi.
Menariknya, suasana waktu malam di warung ini kelihatan amat memukau dengan cahaya lampu neon yang menerangi warung dan menimbulkan satu suasana romantik bagi pelanggan yang datang menjamu selera disini.
Pada 12 Januari lalu, Titanic Selalang ini turut dikunjungi oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh dan juga Ahli Parlimen P206 Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Kedua-dua pemimpin tersebut berkesempatan menjamu selera di warung itu selepas menghadiri majlis bersama rakyat di Dewan Masyarakat Selalang.
Sudah pasti bagi Osman Jalaini, pemilik Titanic Selalang, kunjungan pemimpin itu sebagai sesuatu yang amat istimewa sekali gus meningkatkan semangat untuk terus berjaya dalam bidang yang diusahakannya pada masa ini.
Oleh EARL ANEK