Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • WHO sifatkan wabak Ebola di Congo ‘amat membimbangkan’
  • KESIHATAN

WHO sifatkan wabak Ebola di Congo ‘amat membimbangkan’

Utusan Sarawak 4 hours ago
WHO sifatkan wabak Ebola di Congo ‘amat membimbangkan’. Foto hiasan.

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran hari ini bahawa wabak Ebola yang ‘amat membimbangkan’ sedang merebak di Republik Demokratik Congo dalam keadaan ‘sangat kompleks’, ketika agensi itu bersiap sedia menentukan vaksin berpotensi yang perlu diberi keutamaan bagi ujian klinikal.

WHO pada Ahad mengisytiharkan wabak Ebola di Congo dan Uganda sebagai kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa, dengan sekurang-kurangnya 80 kematian disyaki dilaporkan setakat Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Wakil WHO di Congo Anne Ancia memberitahu pemberita di Geneva bahawa wabak yang berpunca daripada strain Bundibugyo Ebola itu secara rasmi diisytiharkan pada 15 Mei selepas kes awal disahkan di wilayah Ituri.

“Ia berlaku dalam konteks epidemiologi, operasi dan kemanusiaan yang sangat kompleks,” katanya sambil memetik faktor keselamatan, perpindahan penduduk serta cabaran di kawasan padat penduduk dan kawasan pedalaman.

Sehingga 19 Mei, lebih 500 kes disyaki, termasuk 130 kematian disyaki, dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan Congo, manakala 30 kes setakat ini disahkan di Republik Demokratik Congo (DRC). Uganda turut mengesahkan dua kes import.

Ancia berkata, wabak itu dikesan sekitar empat minggu lewat kerana ia bermula di kawasan yang mempunyai sistem pemantauan lemah.

Makmal tempatan pada peringkat awal hanya menguji strain Zaire Ebola yang lebih dikenali dan berulang kali memperoleh keputusan negatif, manakala doktor mengaitkan penyakit itu dengan malaria dan salmonella.

Beliau berkata, hanya selepas pasukan WHO tiba, menilai gambaran klinikal dan definisi kes, serta menghantar sampel ke Institut Penyelidikan Bioperubatan Kebangsaan di Kinshasa, strain Bundibugyo disahkan menerusi penjujukan genomik.

“Masih tiada vaksin berlesen untuk spesies Ebola ini,” tegas Ancia.

Beliau berkata, kumpulan penasihat teknikal WHO bermesyuarat pada Selasa untuk menilai data saintifik dan mencadangkan vaksin berpotensi yang perlu diberi keutamaan bagi ujian klinikal, manakala keputusan muktamad sama ada untuk meneruskan usaha itu akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan DRC.

Ancia berkata, vaksin berpotensi, Ervebo, dijangka tersedia dalam tempoh sekitar dua bulan, sambil menambah bahawa wabak itu berkemungkinan masih belum berakhir menjelang tempoh itu.

Ervebo ialah vaksin dos tunggal yang terbukti sangat berkesan terhadap strain Zaire Ebola.

WHO memaklumkan pihaknya sedang menyokong usaha pemantauan, pengesanan kontak, ujian dan rawatan klinikal, selain mengerahkan pakar serta menghantar 12 tan bekalan perubatan, termasuk peralatan perlindungan untuk petugas kesihatan barisan hadapan.

Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) turut memberi amaran bahawa wabak itu boleh merebak dengan cepat sekiranya komuniti tidak terlibat sepenuhnya dalam tindak balas terhadap wabak berkenaan.

“Wabak Ebola semasa di Republik Demokratik Congo merupakan kecemasan kesihatan awam yang berkembang dengan pantas,” kata ketua Palang Merah bagi penjagaan klinikal dan kesihatan awam dalam kecemasan, Laura Archer kepada pemberita.

“Pengesanan awal, penglibatan komuniti serta peranan dan tindakan pihak kesihatan awam tempatan amat penting untuk membendung wabak ini,” tambahnya.

Agensi itu berkata ia telah mengaktifkan ‘tahap kecemasan tertinggi’ dan sedang meningkatkan operasi, termasuk mengerahkan pasukan kesihatan awam khusus serta pakar kecemasan ke kawasan terjejas dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Mekanisme penyelarasan turut diaktifkan antara pasukan di Kinshasa, Kampala, Nairobi dan Geneva, manakala kit pengebumian selamat dan bermaruah sedang dihantar dari Kinshasa dan Dubai.

Archer memberi amaran bahawa wabak Ebola boleh merebak dengan cepat apabila kes tidak dikenal pasti pada peringkat awal, komuniti tidak mempunyai maklumat yang boleh dipercayai dan sistem kesihatan menjadi terlalu terbeban.

“Malangnya, kami kini menyaksikan semua faktor itu berlaku serentak dalam wabak ini,” katanya.

Sukarelawan Palang Merah di Congo membantu komuniti terjejas menerusi pengebumian selamat, kempen pencegahan penyakit dan usaha meningkatkan kesedaran kesihatan awam.

“Mesej kami hari ini jelas: wabak ini boleh dibendung jika komuniti menjadi teras kepada tindak balas,” kata Archer. – Bernama

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: DUN: Kes denggi di Sarawak meningkat 43.4 peratus tahun ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.