Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • DUN: Kes denggi di Sarawak meningkat 43.4 peratus tahun ini
  • KESIHATAN

DUN: Kes denggi di Sarawak meningkat 43.4 peratus tahun ini

Utusan Sarawak 6 hours ago
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika ucapan penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Sarawak merekodkan peningkatan 43.4 peratus kes demam denggi setakat Mei tahun ini dengan Kuching, Samarahan dan Serian dikenal pasti antara kawasan utama mencatat jumlah kes tertinggi.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sebanyak 393 kes denggi dilaporkan di Sarawak setakat 2 Mei lalu berbanding 274 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Menurutnya, kira-kira 70 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan kawasan Kuching, Samarahan dan Serian, sekali gus menunjukkan kawasan berpenduduk padat masih menjadi tumpuan utama penularan wabak berkenaan.

“Demam denggi kekal menjadi isu kesihatan awam penting di Sarawak. Pada 2025 merekodkan penurunan kes berbanding 2024, namun jumlah kes kembali meningkat pada 2026,” katanya ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini Sarawak masih belum merekodkan sebarang kematian akibat denggi dan keadaan itu perlu terus dikekalkan menerusi tindakan pencegahan berterusan.

“Kita bersyukur kerana belum ada kematian akibat denggi di Sarawak setakat ini.

“Namun, rakyat tidak boleh mengambil mudah kerana peningkatan kes menunjukkan ancaman denggi masih serius,” katanya.

Menurut Dr Sim, Jabatan Kesihatan Sarawak bersama agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri akan terus memperkukuh langkah kawalan termasuk pengurangan tempat pembiakan nyamuk, pengurusan vektor bersepadu serta usaha promosi kesihatan kepada masyarakat.

Beliau berkata, kerjasama pihak berkuasa tempatan juga penting dalam memastikan kebersihan kawasan perumahan, longkang dan tapak pembuangan sampah sentiasa berada pada tahap baik bagi mengurangkan risiko pembiakan nyamuk Aedes.

“Ini bukan hanya tanggungjawab Jabatan Kesihatan semata-mata.Pihak berkuasa tempatan, komuniti dan rakyat sendiri perlu memainkan peranan memastikan persekitaran bersih,” katanya.

Dalam masa sama, program Gotong-Royong Mega peringkat negeri dijadual diadakan di Sarikei pada Jun depan sebagai usaha mempertingkat kesedaran komuniti terhadap pencegahan denggi dan penjagaan kebersihan persekitaran.

Selain isu denggi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak turut merekodkan peningkatan mendadak kebakaran terbuka dan kebakaran hutan tahun ini yang turut memberi kesan kepada kesihatan awam.

Dr Sim berkata, bagi tempoh Januari hingga April lalu, sebanyak 850 kes kebakaran terbuka dan kebakaran hutan direkodkan melibatkan kawasan seluas 1,265.75 hektar di seluruh Sarawak.

Menurutnya, purata bulanan panggilan berkaitan kebakaran terbuka meningkat kepada 212 kes berbanding hanya 85 kes pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan cuaca panas dan keadaan kering ketika ini memerlukan kerjasama semua pihak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Ia bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar tetapi juga kesihatan rakyat termasuk meningkatkan risiko penyakit,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh pendekatan kesihatan awam secara menyeluruh termasuk pendidikan komuniti, penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan dan kesiapsiagaan agensi berkaitan dalam menghadapi ancaman penyakit berjangkit.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: DUN: Sarawak percepat autonomi kesihatan, dahului RM1.5 bilion bina pusat kanser
Next: WHO sifatkan wabak Ebola di Congo ‘amat membimbangkan’

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.