
KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah mendakwa dirinya diganggu oleh seorang pelajar berperwatakan ‘tomboy’ ketika di asrama.
Ibu saudara arwah, Nur Shira Abdullah, 46, yang juga saksi ke-71 dalam inkues kematian remaja berkenaan berkata perkara itu diceritakan sendiri oleh Zara Qairina kepadanya ketika mangsa pulang bercuti sempena Aidilfitri tahun lepas.
Nur Shira berkata, arwah memaklumkan gangguan itu diketahuinya berdasarkan cerita rakan sebilik, selain mendakwa pernah berdepan beberapa situasi lain yang membuatkannya berasa tidak selesa sepanjang berada di asrama.
“Semasa Zara menceritakan perkara tersebut kepada kami, anak saya secara tidak sengaja telah merakam penceritaan Zara tersebut,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Saksi turut memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina pernah mengadu diarahkan turun ke tingkat bawah asrama sekitar pukul 1.00 hingga 2.00 pagi untuk mengambil air panas kerana penapis air berada di tingkat bawah sedangkan mangsa berada di tingkat tiga.
Selain itu, katanya mangsa pernah memaklumkan wang miliknya hilang dan dipercayai dicuri.
Nur Shira berkata, sepanjang pengetahuannya, perkara yang sering diceritakan Zara Qairina lebih berkait dengan kehidupan di sekolah dan asrama serta hubungannya dengan rakan-rakan, bukannya masalah keluarga.
“Zara tidak pernah menyatakan bahawa beliau tidak disayangi oleh ibunya atau takut kepada ibunya. Pada pemerhatian saya, Zara berkongsi perkara-perkara tersebut sebagai sesuatu yang tidak selesa, namun beliau masih mampu bercerita seperti biasa,” katanya.
Saksi turut mendakwa Zara Qairina pernah memaklumkan bahawa dia ada membuat aduan kepada warden, namun aduannya tidak dipercayai.
Menyentuh isu penolakan bedah siasat, saksi menafikan keluarga membuat keputusan melulu, sebaliknya doktor di bilik forensik hanya mengarahkannya menandatangani borang tanpa penjelasan terperinci.
Beliau juga menafikan dakwaan kononnya mereka membincangkan isu bedah siasat di kawasan awam, menegaskan ibu arwah, Noraidah Lamat hanya menyuarakannya sekali di dalam wad tanpa kehadiran pelawat lain.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya sekitar 4.00 pagi.
Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum ini mengarahkan prosiding inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Inkues bersambung esok. – Bernama