
SPAOH: Penganjuran Karnival Futsal Bukit Saban 2026 bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat sukan dalam kalangan belia, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum serta merancakkan ekonomi komuniti setempat.
Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu berkata, program sukan komuniti seperti itu perlu diteruskan secara berkala bagi memberi ruang kepada golongan belia menyertai aktiviti sihat dan bermanfaat.
Menurut beliau, penglibatan aktif dalam bidang sukan mampu menghindarkan belia daripada terjebak dengan gejala sosial yang tidak sihat selain membentuk sahsiah diri yang lebih positif.

“Program seperti ini sangat baik untuk belia kerana bukan sahaja dapat mencungkil bakat, tetapi juga membentuk disiplin dan semangat berpasukan,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis penangguhan karnival berkenaan, di Gelanggang Futsal Spaoh semalam.
Dr Richard berkata, penganjuran sukan komuniti turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat khususnya peniaga kecil menerusi kehadiran peserta dan pengunjung sepanjang program berlangsung.
“Apabila ramai hadir ke kawasan ini, secara tidak langsung ia membantu meningkatkan pendapatan peniaga tempatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para peserta agar sentiasa mengekalkan semangat kesukanan dan perpaduan dalam setiap pertandingan yang disertai kerana sukan merupakan medium terbaik untuk menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
“Inilah semangat yang kita mahu terus suburkan demi mengeratkan perpaduan masyarakat, khususnya di daerah Betong,” tambah beliau.

Karnival Futsal Bukit Saban 2026 dianjurkan oleh Kelab Anak Asal Bukit Saban dengan kerjasama Pejabat Daerah Kecil Spaoh, Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Saban, Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Bukit Saban serta Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.
Sebanyak 18 pasukan futsal lelaki dan empat pasukan futsal wanita mengambil bahagian bagi merebut Piala Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Piala Datin Amar Dato Doreen Mayang.
Bagi kategori lelaki, pasukan Skywhite muncul juara selepas menewaskan Haqi Bangsawan 2-0 pada aksi final sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta trofi dan medal, manakala Haqi Bangsawan X muncul naib juara dengan hadiah RM2,500 berserta pingat.
Pasukan Loy’69 FT dan Datus United pula berkongsi tempat ketiga bersama dengan masing-masing menerima wang tunai RM1,000 berserta pingat.
Sementara itu, pasukan Avengers Romanoff menjuarai kategori wanita dan membawa pulang wang tunai RM3,000, trofi serta medal kemenangan.
Pasukan Loy’69 NC FT muncul naib juara dengan hadiah wang tunai RM1,500 berserta medal, manakala KTM United dan Borneo FT berkongsi tempat ketiga bersama dengan masing-masing menerima wang tunai RM500 dan pingat.
Harith dari pasukan Skywhite dinobatkan sebagai pemain lelaki terbaik dan menerima hadiah RM500, manakala Dayang Norfadila dari pasukan Avengers Romanoff dipilih sebagai pemain wanita terbaik dengan hadiah RM250.
Turut hadir Penasihat Jawatankuasa Penganjur Karnival, Dr Louis Laja Uggah; Timbalan Ketua PBB Cawangan Bukit Saban, Abang Madehi; Naib Ketua Pemuda PBB Sarawak, Martin Ngindang serta para ketua masyarakat dan ketua kaum setempat.
Oleh Adi Safarman