
PETRA JAYA: Acara Larian Berita Terkini 2.0 atau Breaking News Run 2.0 yang dianjurkan Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Cawangan Sarawak bersama Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) menyasarkan penyertaan sekitar 1,200 peserta pada penganjuran kali kedua tahun ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan terhadap acara larian di Sarawak kini semakin memberangsangkan sekali gus membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, acara yang akan berlangsung pada waktu malam itu bukan sahaja melibatkan pengamal media, malah turut disertai pengamal perubatan, peminat kecergasan serta orang awam.
“Tujuan larian ini adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat, kesejahteraan kesihatan fizikal dan mental serta mengukuhkan hubungan antara pengamal media dan masyarakat,” katanya pada sidang media di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, acara itu mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) serta beberapa syarikat swasta.
Larian Berita Terkini 2.0menawarkan dua kategori iaitu larian sejauh tujuh kilometer dan tiga kilometer dengan laluan sekitar bandar raya Kuching pada waktu malam.
Katanya, peserta juga boleh memilih baju-T bertemakan kuasa besar bola sepak dunia seperti Argentina, Brazil dan Jerman.
Abdul Karim turut berkata, perkembangan pesat acara larian di Sarawak memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri apabila semakin ramai peserta luar datang menyertai acara sukan di sini.
“Minggu lalu saya berada di Samarahan bagi Maraton HSL Samarahan 2026 dan terdapat ramai peserta dari Semenanjung termasuk Pulau Pinang malah ada juga dari Afrika.
“Ini sesuatu yang baik kerana ia membantu industri pelancongan dan mempromosikan Sarawak,” katanya.
Yuran penyertaan bagi kedua-dua kategori pula ditawarkan pada kadar RM30 untuk pakej bib bersama medal, RM40 bagi pakej bib bersama baju-T manakala pakej penuh merangkumi bib, medal dan baju-T ditawarkan pada harga RM50.
Oleh Shahrul Qaizat