KUALA LUMPUR: CBRE | WTW tidak menjangkakan pasaran hartanah negara akan mempamerkan prestasi lebih baik sebagaimana 2020 berikutan kekurangan aktiviti ekonomi susulan Covid-19 dan mengekalkan unjuran ‘neutral’ bagi prospeknya pada tahun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan syarikat perkhidmatan hartanah dan pelaburan Foo Gee Jen berkata, Malaysia sekali lagi sedang mengharungi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan oleh itu, mungkin tidak ada sebarang perkembangan pasaran yang memberangsangkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Kegiatan akan ditangguhkan sehinggalah fasa peningkatan semula dan pemulihan berlaku,” katanya sambil menambah permintaan ke atas pasaran hartanah terutamanya bagi segmen kediaman, dijangka berdasarkan keperluan berbanding sentimen pengembangan.
CBRE | WTW menyaksikan bahawa hartanah tidak terjual dijangka menguasai pasaran kediaman untuk tempoh dua tahun akan datang.
“Bagaimanapun, kadar urbanisasi dan pertumbuhan demografi akan memberikan sokongan belian yang minimum terutamanya untuk pembeli rumah pertama.
“Harga bagi keseluruhan pasaran kediaman akan bergerak mendatar bagi segmen pertengahan dan mampu milik. Bagaimanapun, akan wujud tekanan dan pembetulan harga bagi pasaran mewah dan produknya,” menurut Foo menerusi taklimat media secara maya semalam.
Sejak pandemik itu melanda, beliau berkata urus niaga dalam kebanyakan segmen di pasaran kediaman telah terjejas antara lima hingga 15 peratus terutamanya bagi hartanah bangunan tinggi dan mewah.
Mengenai Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang diwujudkan oleh kerajaan, Foo berkata inisiatif tambahan seperti pengecualian duti setem 100 peratus, sifar peratusan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) dan peningkatan margin pembiayaan sebanyak 70 peratus bagi pinjaman perumahan ketiga dan selanjutnya melibatkan hartanah bernilai RM600,000 dan ke atas, dijangka meningkatkan pinjaman pembeli rumah.
Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada November 2020 akan membantu pembeli rumah pertama menerusi pengecualian duti setem pada Memorandum Pindah Milik (MOT) dan perjanjian pinjaman untuk tempoh lima tahun akan datang.
Persekitaran kadar faedah rendah dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terkini yang dikekalkan pada 1.75 peratus sejak suku ketiga 2020 dan terendah dalam sejarah dijangka merangsang pemulihan ekonomi pada tahun ini.
Ketika ditanya sama ada pemaju akan membina lebih banyak rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah, Foo berkata ia harus dikaitkan dengan ketersediaan kebolehsampaian, kesalinghubungan dan infrastruktur asas.
“Wujud ketidaksesuaian mengenai lokasi perumahan mampu milik ini. Misalnya, kita lihat beberapa projek termasuk rumah PR1MA dibina di lokasi yang tidak tepat tanpa kebolehsampaian dan infrastruktur. Saya tidak melihat segmen ini akan berkembang untuk tahun-tahun yang akan datang,” katanya.
Sementara itu, Foo berkata syarikat itu menjangkakan peningkatan dalam pelaburan langsung asing (FDI) bagi segmen logistik dan penggudangan.
“Tinjauan kami menunjukkan ia telah melepasi segmen hartanah komersial di rantau ini. Permintaan akan wujud daripada perniagaan dalam e-dagang.
“Mereka akan memerlukan lokasi bandar yang lebih baik untuk hab pengagihan seperti berhampiran lapangan terbang, bandar pelabuhan dan lebuh raya berikutan peningkatan permintaan penghantaran untuk hari berikutnya kerana kebanyakan orang kini dalam norma baharu iaitu bekerja dari rumah,” katanya.
Bagi taman perindustrian yang didorong permintaan kukuh dalam aktiviti pembuatan sarung tangan getah dan kelengkapan perlindungan diri (PPE), Foo yakin bahawa pasaran akan terus menyaksikan lebih banyak perolehan dan pengembangan dalam simpanan tanah dan pengambilalihan kilang siap
“Banyak pertanyaan dan mesyuarat maya dan keadaan ini akan berlanjutan memandangkan Malaysia mempunyai tenaga kerja dan lokasi geografi yang baik berbanding Filipina dan Indonesia,” kata Foo.
Beliau berkata walaupun berkemungkinan tidak ada pertumbuhan yang kukuh untuk tahun-tahun berikutnya, Malaysia masih boleh mengharapkan pemulihan secara beransur-ansur dan meraih kembali kepastian pada 2021.
– Bernama