
KUCHING: Atlet bina badan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kpl Mohd Al Badrul Abu dari Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa Briged Sarawak berjaya mengharumkan nama negara apabila meraih tempat kelima kategori Fizik Lelaki Bawah 170 Sentimeter pada Kejohanan Bina Badan dan Sukan Fizik Asia Tenggara ke-20 2026 yang berlangsung di sini dari 14 hingga 18 Mei lalu.
Pencapaian itu sekali gus memperlihatkan peningkatan prestasi beliau selepas menduduki tempat keenam bagi Fizik Lelaki Bawah 175 Sentimeter pada kejohanan edisi ke-19 di Bangkok, Thailand tahun lalu.

Mohd Al Badrul yang juga atlet PDRM berkata, beliau amat bersyukur kerana segala pengorbanan dan usaha sepanjang empat bulan menjalani latihan intensif akhirnya membuahkan hasil di pentas Asia Tenggara.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan gembira kerana segala usaha serta susah payah sepanjang latihan akhirnya membuahkan hasil walaupun hanya mendapat tempat kelima.
“Sepanjang tempoh persiapan, saya terpaksa mengorbankan kemeriahan sambutan Hari Raya demi memberi sepenuh fokus terhadap diet dan latihan harian,” katanya kepada Utusan Sarawak selepas pertandingan tersebut.

Menurut beliau, disiplin latihan menjadi antara faktor utama kejayaannya apabila menjalani tiga sesi latihan sehari di TurboFitness Matang, Kuching bagi memantapkan fizikal sebelum beraksi di kejohanan berprestij itu.
“Saya menjalani latihan pada waktu pagi, petang dan malam untuk memastikan fizikal berada pada tahap terbaik ketika pertandingan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan PDRM dan Majlis Sukan PDRM yang memberi kepercayaan kepadanya membawa nama pasukan keselamatan negara serta Malaysia ke peringkat Asia Tenggara.
Beliau secara khusus menzahirkan penghargaan kepada Pengelola Sukan Bina Badan PDRM, SAC Aidil Bolhassan bersama barisan pengurusan dan jurulatih bina badan PDRM atas sokongan yang diberikan.

Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada Komander Briged Sarawak, SAC Lim Bak Phai, Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA, SUPT Ku Majidin Che Ku Jusoh serta Platun Komander, Insp Wong Shung Ming kerana memberikan pelepasan tugas sepanjang tempoh persiapan menghadapi kejohanan tersebut.
Mohd Al Badrul turut menghargai sokongan Persatuan Bina Badan Malaysia (MBBF), pegawai dan jurulatih kebangsaan yang memberi peluang kepadanya mewakili Malaysia.
“Tidak lupa juga kepada keluarga terutama isteri saya yang sentiasa memberi semangat dan sokongan sepanjang saya terlibat dalam sukan ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Setiausaha Bina Badan PDRM, Anuar, jurulatihnya Buda Ancah dan George Awi William serta rakan-rakan seperjuangan termasuk Kpl Mohd Faizal @ Jaja, Si Azahar, Sjn Ismadi, kapten pasukan PDRM Zmarul Al Adam dan sahabat lain yang banyak membantu dari segi latihan, pemakanan serta kewangan sepanjang persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.
Oleh Shikin Mahmud