
KUALA LUMPUR: Kes gangguan seksual melibatkan mangsa lelaki menunjukkan peningkatan ketara apabila lebih 1,000 laporan diterima menerusi kaunter aduan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sejak 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, trend yang sama turut direkodkan menerusi statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus menunjukkan keberkesanan program advokasi kementerian yang menggalakkan mangsa tampil membuat laporan.
Beliau berkata, antara bentuk gangguan seksual fizikal yang dilaporkan oleh mangsa lelaki termasuk perbuatan memegang bahagian tertentu tanpa persetujuan mereka.
“Sebagai contoh, ada satu insiden di sebuah kompleks beli-belah, seorang mangsa lelaki didekati dan dipegang secara tiba-tiba dari arah belakang oleh seorang jurujual lelaki ketika mangsa ingin masuk ke bilik persalinan pakaian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No to Sexual Harrasment‘, di sini hari ini.
Sementara itu, mengulas tentang kes gangguan seksual membabitkan seorang ketua polis daerah di Sarawak, Nancy berkata kes berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.
“Pihak kementerian memuji keberanian pegawai berkenaan yang tampil melaporkan kes itu dan kami akan terus memantau perkembangannya dengan rapat,” katanya.
Menyentuh kes gangguan seksual membabitkan kanak-kanak di rumah, beliau menggesa ahli keluarga supaya mengambil serius setiap aduan dan luahan anak-anak, terutama jika gangguan melibatkan individu terdekat dalam keluarga sendiri.
“Kita perlu sentiasa mendengar luahan mereka kerana kanak-kanak kadangkala berasa amat takut untuk bercakap dengan ibu dan adik-beradik kerana bimbang dituduh mengada-adakan cerita.
“Melalui program advokasi yang kita jalankan kanak-kanak sekarang sudah mula mengetahui hak mereka. Malah,ada yang mencari alternatif untuk membuat aduan termasuk menghubungi Talian Kasih 15999 atau menggunakan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan ChatGPT untuk mencari saluran bantuan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Nancy berkata hingga 26 April lepas, sebanyak 92 aduan telah difailkan kepada TAGS dengan 69 daripadanya berjaya diselesaikan, sekali gus membuktikan keberkesanan tribunal itu dalam mempercepat penyampaian keadilan kepada mangsa.
Beliau berkata, statistik PDRM turut menunjukkan trend peningkatan membimbangkan apabila jumlah kes gangguan seksual meningkat daripada 477 kes pada 2022 kepada 1,038 kes pada 2025, sekali gus menggambarkan isu ini semakin serius dan memerlukan tindakan tegas serta kesedaran menyeluruh dalam kalangan masyarakat untuk membendungnya. – Bernama