Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah didapati bersalah ubah wang haram lebih RM45 juta
  • MAHKAMAH

Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah didapati bersalah ubah wang haram lebih RM45 juta

Utusan Sarawak 10 hours ago
BEKAS Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM45 juta, 10 tahun lepas. Foto Bernama gambar fail

KOTA KINABALU: Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM45 juta, 10 tahun lepas.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu ke atas Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan Fauziah Piut, 61, iaitu isteri Ag Mohd Tahir atas 19 pertuduhan sama manakala bekas Timbalan Pengarah jabatan itu Lim Lam Beng, 72, yang berdepan empat pertuduhan serupa turut dibebaskan selepas mendapati pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Sementara itu, mahkamah melepaskan Ag Mohd Tahir dan isterinya atas dua pertuduhan bersama berkaitan pengubahan wang haram.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016 dan 13 Oktober hingga 8 November 2016 di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001. 

Ag Mohd Tahir berdepan 11 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUA serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) akta sama, manakala semua pertuduhan lain mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUA.

Sementara itu, Abu Bakar dalam penghakimannya berkata dalam mensabitkan kesalahan di bawah AMLATFPUA, pihak pendakwaan perlu membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wang itu diperoleh daripada aktiviti haram serta melibatkan unsur pengubahan wang haram.

Beliau berkata lebih RM45 juta wang tunai ditemukan dengan Ag Mohd Tahir iaitu lebih RM23 juta di pejabatnya, lebih RM13 juta dalam dua keretanya dan lebih RM8 juta di kediamannya.

Katanya sepanjang perbicaraan, pihak pembelaan gagal mempertikai kes pendakwaan berhubung penemuan sejumlah besar wang tunai itu, selain pelbagai barangan jenama mewah seperti jam, beg tangan dan kereta.

Hakim itu turut berkata pembelaan gagal membuktikan dakwaan tertuduh bahawa wang tersebut bukan hasil rasuah, sebaliknya keuntungan perniagaan yang dijalankan bersama rakannya, selain gagal mengemukakan dokumen sokongan kukuh bagi menyokong dakwaan tersebut.

“Semasa perbicaraan kes ini, mahkamah berpuas hati dengan pembuktian pendakwaan bahawa tertuduh menggunakan kedudukan sebagai Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah dalam melakukan skim kutipan berpusat. Mahkamah berpendapat keterangan bukti yang dikemukakan amat meyakinkan, namun tertuduh gagal memberi penjelasan mengenai sumber wang tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kes yang dibicara di mahkamah adalah berkaitan pengubahan wang haram di bawah AMLATFPUA dan bukan kes melibatkan rasuah.

Dalam pada itu, ketika memutuskan untuk membebas dan melepas Fauziah, Abu Bakar berkata hubungan suami isteri semata-mata tidak boleh dijadikan asas kukuh untuk mendakwa tertuduh sebagai rakan subahat dalam kegiatan berkenaan.

“Mahkamah mendapati OKT kedua bukan mempunyai kepentingan atau kuasa mengarahkan projek berkaitan OKT pertama. Pendakwaan juga gagal membuktikan niat bersama OKT pertama dan kedua. Mahkamah dapati tidak selamat membuat dapatan salah terhadap OKT kedua,” katanya.

Mengenai keputusan terhadap Lim, hakim itu berkata tiada wang tunai melibatkan pengubahan wang haram dapat dibuktikan dan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah serta Zander Lim.

Sepanjang perbicaraan, Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili barisan peguam diketuai Datuk Ansari Abdullah, manakala Lim diwakili pasukan peguam diketuai Datuk Tan Hock Chuan.

-Bernama

Tags: mahkamah

Continue Reading

Previous: Pihak berkuasa cukai Sepanyol diperintah pulangkan lebih AS$60 juta kepada Shakira
Next: Bekas Pengarah Jabatan Air Sabah dipenjara lapan tahun, denda RM284.3 juta

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.