
KUALA LUMPUR: Fungsi carian, penandaan (tagging) dan ruangan komen di platform media sosial kini dikesan menjadi medium utama bagi pemangsa siber melakukan pengumpulan maklumat (information harvesting) terhadap kanak-kanak tanpa memerlukan sebarang interaksi langsung pada peringkat awal.
Pakar Keselamatan Siber Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nur Izura Udzir berkata akses terbuka itu sering disalahgunakan untuk menjejak lokasi, minat serta rutin harian mangsa sebelum pemangsa memulakan proses manipulasi digital.
Beliau berkata ruangan interaksi digital tersebut kini bukan lagi sekadar tempat perbincangan, sebaliknya berpotensi menjadi akses awal kepada pemprofilan mangsa melalui penelitian terhadap emosi dan kelemahan psikologi kanak-kanak.
Nur Izura yang juga ahli Cyber Security Academia Malaysia berkata data yang diperoleh daripada interaksi digital itu mampu membuka ruang kepada ancaman lebih ekstrem termasuk ugutan, pemerasan siber serta ancaman fizikal terhadap mangsa.
“Mereka bermula dengan berkawan, berinteraksi secara konsisten, berkongsi minat yang sama, memberi perhatian dan akhirnya membina kepercayaan. Ada kes individu dewasa menyamar sebagai remaja perempuan berusia 13 tahun untuk memudahkan proses mendekati mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Nur Izura berkata proses eksploitasi itu lazimnya bermula dengan taktik cyber grooming iaitu pendekatan psikologi secara berperingkat untuk membina kepercayaan kanak-kanak selepas pelaku mengenal pasti kelemahan mereka melalui aktiviti di ruang digital.
Lebih membimbangkan, pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM itu berkata algoritma cadangan rakan atau Suggested Friends turut dimanipulasi melalui penciptaan akaun palsu yang menyerupai latar belakang sosial, umur dan minat mangsa.
Katanya perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk teknologi deepfake yang menghasilkan bahan eksploitasi secara sintetik turut menambah cabaran dalam analisis forensik serta melambatkan siasatan pihak berkuasa.
Beliau berkata ancaman itu diperkukuh dengan penemuan hampir 500,000 fail berkaitan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) menerusi Ops Cyber Guardian bulan lepas sekali gus menggambarkan skala jenayah siber yang semakin serius dan tersusun.
Katanya rampasan berskala besar dalam operasi polis membuktikan kewujudan jaringan jenayah terancang yang memanfaatkan teknologi seperti penyulitan (encryption), rangkaian dark web serta storan awan bagi menyembunyikan aktiviti mereka.
Sehubungan itu, Nur Izura menyifatkan cadangan penetapan had umur minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial sebagai langkah kritikal dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak di ruang digital yang semakin kompleks.
Bagi mengekang penyamaran dan lambakan akaun palsu, beliau berkata terdapat keperluan kepada kawalan lebih ketat termasuk pengesahan identiti digital yang lebih kukuh, seperti integrasi dengan sistem identiti nasional MyDigital ID.
“Langkah ini penting bukan sahaja untuk mengesahkan pengguna bawah 16 tahun, tetapi juga menyekat pemangsa yang menyamar sebagai rakan sebaya. Tanpa sistem tapisan yang lebih tegas, penguatkuasaan sedia ada akan terus berdepan cabaran besar,” katanya.
Pada 31 Mac lepas, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan akan meneruskan usaha mengehadkan pembukaan akaun media sosial baharu bagi kanak-kanak bawah 16 tahun dengan pelaksanaannya dijangka seawal pertengahan tahun ini.
Terdahulu, pada 7 Mac, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti pelbagai kaedah pengesahan umur sebelum pelaksanaan had usia 16 tahun bagi penggunaan media sosial. – Bernama