Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • NM Aircond bina legasi perniagaan penyaman udara, sasar pengembangan francais
  • INSPIRASI

NM Aircond bina legasi perniagaan penyaman udara, sasar pengembangan francais

Utusan Sarawak 8 hours ago
KETUA Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn Bhd Masitah Mohd Afandy, 36, bergambar bersama pekerjanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Bermula dengan pengalaman dalam industri perhotelan, pasangan suami isteri berjaya membina perniagaan penyaman udara yang berdaya saing menerusi NM Aircond Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 26 Februari, 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif, Masitah Mohd Afandy, 36, berkata keputusan menceburi bidang keusahawanan dibuat selepas beliau dan suami, Nik Nazri Abidin, 39, menghadapi kekangan masa akibat jadual kerja tidak menentu ketika masing-masing berkhidmat di bahagian kaunter hadapan dan pengemasan di sebuah hotel.

Masitah atau lebih mesra dipanggil Masyi, merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan berkata pemilihan industri penyamanan udara dibuat berdasarkan potensinya yang bersifat malar segar.

KETUA Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn Bhd, Masitah Mohd Afandy, 36, berbincang bersama pekerjanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata pada 2012, penggunaan pendingin hawa di Johor masih dilihat sebagai kehendak terutama oleh kalangan B40 manakala kebanyakan daripada M40 dan T20 pula melihatnya sebagai keperluan.

Bagaimanapun, beliau dan suami yakin dalam tempoh lima hingga enam tahun, penyaman udara akan menjadi satu keperluan.

“Dalam industri penyaman udara, kebanyakan kontraktor Melayu ketika itu lebih tertumpu kepada projek berskala besar. Kami melihat pasaran itu sebagai ‘red ocean’ yang terlalu padat dengan persaingan, terutama daripada kontraktor yang mempunyai jaringan kukuh.

“Jadi kami mengambil pendekatan berbeza dengan memasuki ‘blue ocean’, iaitu memberi fokus kepada pasaran kediaman. Kami mengkaji sekitar 760,000 kediaman di kawasan Johor Bahru, Gelang Patah dan Pasir Gudang. Daripada situ, kami melihat peluang besar untuk berkembang dalam segmen ini,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Bagi mengukuhkan asas perniagaan, Nik Nazri terlebih dahulu menimba pengalaman sebagai tenaga teknikal di sebuah syarikat manakala Masitah memulakan kerjaya sebagai kerani sebelum kedua-duanya mengembangkan perniagaan sendiri.

Selepas kira-kira setahun setengah menimba pengalaman, pasangan itu memulakan perniagaan sendiri pada Februari 2014.

Masitah berkata dalam industri penyaman udara, khususnya pasaran kediaman, keuntungan tidak dapat dicapai dalam masa singkat dan memerlukan tempoh yang panjang untuk stabil.

KETUA Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn Bhd Masitah Mohd Afandy, 36, ketika ditemui Bernama baru-baru ini. Bermula dengan pengalaman dalam industri perhotelan. Foto BERNAMA

“Pencapaian terbesar kami adalah apabila berjaya mencapai jualan pertama sebanyak RM1 juta pada tahun kelima operasi,”  katanya yang kini mempunyai kira-kira 23 kakitangan.

Ketika perniagaan semakin berkembang dan berada pada landasan kukuh, Masitah diuji dengan satu peristiwa yang mengubah hidupnya apabila kehilangan penglihatan kedua-dua mata selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 Mac, 2023, iaitu dua hari sebelum Ramadan.

Meskipun tidak dapat melihat, ujian itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menerajui perniagaan yang dibina bersama Nik Nazri.

Mengulas mengenai kekuatan syarikat, Masitah berkata pihaknya menitikberatkan kualiti tenaga kerja dengan mengambil graduan terlatih daripada institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain memastikan setiap kakitangan memiliki kemahiran serta pensijilan yang relevan.

Selain itu, syarikat menggunakan pendekatan profesional ketika berhubung dengan pelanggan seperti penggunaan bahasa Melayu yang baik  dalam setiap urusan.

“Kami mengamalkan penggunaan Bahasa Melayu yang baik dalam berkomunikasi dengan pelanggan. Kami tidak menggunakan panggilan seperti “abang” atau “akak”, sebaliknya menggunakan panggilan profesional seperti “tuan” dan “puan”, atau gelaran rasmi seperti “Datuk” dan “Datin”.

KETUA Pegawai Eksekutif NM Aircond Sdn Bhd Masitah Mohd Afandy, 36, ketika ditemui Bernama baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Dari segi harga pula, kami menawarkan perkhidmatan pada kadar kompetitif namun bukan yang paling murah di pasaran. Selain itu, syarikat turut menyediakan jaminan perkhidmatan selama 30 hari tanpa sebarang caj tambahan sebagai nilai tambah kepada pelanggan,” katanya.

Dalam usaha memperluas perniagaan, Masitah berkata syarikat kini beralih kepada penjenamaan Aircond Express yang akan menjadi platform utama bagi pengembangan model francais, manakala NM Aircond kekal sebagai syarikat induk.

Syarikat juga mengamalkan pendekatan unik dalam tadbir urus apabila memperkenalkan peralihan tampuk kepimpinan baharu setiap 10 tahun, termasuk memberikan peluang kepada tenaga kerja dalaman untuk menerajui syarikat sebagai sebahagian daripada pelan kelangsungan legasi, katanya.

“Sebagai contoh, pada 30 Jun ini, dua orang Pengarah Eksekutif kita akan dilantik sebagai pemilik syarikat di bawah SSM, manakala kami akan menjadi penasihat dan pemegang saham,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Mohd Khafiz cipta sejarah tawan Gunung Everest

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.