
PADA 1953 merupakan tempoh yang amat mencabar bagi pengusaha dan penanam getah di Sarawak ekoran kemerosotan mendadak harga komoditi tersebut di pasaran.
Kebimbangan mengenai krisis ekonomi ini turut dizahirkan oleh Gabenor Sarawak semasa majlis pembukaan mesyuarat Council Negri pada penghujung 1953.
Beliau menyatakan bahawa 1953 merupakan tempoh yang agak mengecewakan berikutan kejatuhan nilai perdagangan getah.
Dalam hal ini, beliau menjelaskan bahawa nilai eksport getah Sarawak menurun sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Impak kejatuhan harga tersebut telah menjejaskan keseluruhan industri getah di Sarawak, termasuk sektor perdagangan n di bazar seperti Matu dan Daro yang lumpuh akibat ketiadaan bekalan.
Bagi mengelakkan rantaian perniagaan mereka terputus, peniaga mengambil inisiatif memperkenalkan sistem sokongan kredit pada kadar $12 bagi setiap pikul padi yang dijanjikan pasca-menuai.
Buruh
Pada masa tersebut, pengendalian industri getah didapati lebih menjimatkan dan mudah dikawal dalam skala kecil. Atas sebab itu, sebuah syarikat besar yang memiliki ladang getah di Bahagian Kelima terpaksa menamatkan operasinya.
Sebaliknya, pekebun kecil masih mampu bertahan kerana mereka dapat mengurus ladang dengan kos yang minimum, manakala buruh-buruh dalam industri tersebut pula tidak sanggup menerima upah yang rendah dan mula enggan bekerja di ladang getah.
Ramai antara mereka kemudiannya beralih kepada kegiatan penanaman lada. Selain itu, pengurusan tanaman lada juga didapati lebih mudah berbanding tanaman getah.
Perubahan pengaliran buruh dari getah ke lada ini juga kerana keperluan untuk mereka terus mendapat pendapatan mencukupi untuk kehidupan harian yang menjadi faktor perubahan tersebut.
Ada juga mereka mula menjadi tenaga kerja di kawasan penanaman padi. Hanya yang tidak dapat bergerak ke mana-mana industri terpaksa bergantung kepada penanaman getah.

Penanaman
Keadaan ini turut dipengaruhi oleh perubahan sikap penduduk tempatan yang tidak lagi menjalankan penanaman secara haram, sebaliknya mula memohon kawasan penanaman baharu.
Pertambahan kawasan penanaman tersebut telah menyebabkan penawaran getah meningkat dengan ketara. Permintaan untuk membuka kawasan penanaman getah baharu ini amat jelas berlaku di Bahagian Ketiga.
Bagi menangani isu tersebut, Jabatan Pertanian melantik H. T. Gordon Robey sebagai Pegawai Peraturan Getah bagi menjalankan tinjauan di kawasan Rajang. Robey merupakan seorang pegawai yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam landskap industri getah di Tanah Melayu.
Dalam lawatan ini beliau mendapati bahawa tidak semua tanah di bahagian tersebut sesuai untuk penanaman getah. Oleh itu, pembangunan industri getah perlu dibuat secara lebih terancang dengan menggunakan bahan tanaman yang lebih berkualiti sebelum penanaman dijalankan secara besar-besaran.
Klon
Dalam usaha meningkatkan pengeluaran hasil getah Sarawak yang berkualiti, aktiviti pengimportan klon getah bermutu tinggi tetap diteruskan meskipun berdepan dengan pelbagai risiko teknikal.
Pada 1953 terdapat sebanyak 73,250 biji benih klon telah diperoleh dari Borneo Utara. Urusan pengimportan benih klon juga mengalami kegagalan teknikal apabila benih yang dibawa masuk menunjukkan tahap viabiliti (daya hidup) yang rendah dan kadar bercambahan yang tidak mencapai piawaian optimum.
Masalah ini dikaitkan dengan usaha memodenkan industri getah, khususnya berkaitan pengangkutan, penyimpanan dan kesesuaian benih belum lagi dipertingkatkan.
Dalam hal ini usaha juga cuba dibuat untuk mendapat mutu klon getah yang lebih baik dari Institut Getah Tanah Melayu. Klon R.R.I. 600 telah digunakan untuk tujuan pembiakan bersama dua klon komersial yang lain, iaitu AVROS 157 dan LCB 1320.
Usaha penyebaran teknik cantuman mata tunas ini terus dipergiat, dan data menunjukkan bahawa penduduk tempatan menyambut baik inisiatif pemodenan pertanian tersebut.
Salah satu lagi usaha pihak kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran getah di Sarawak ialah untuk mendapat satu tapak tanaman getah yang akan menjadi contoh untuk penanam-penanam getah yang lain.
Usaha ini dilakukan dengan membeli estet-estet getah di Samarahan yang dahulunya dipunyai oleh syarikat-syarikat Jepun. Pada asalnya estet ini di bawah jagaan dan pentadbiran harta Custodian of Enemy.
Estet yang merangkumi kawasan seluas 4,063 ekar tersebut telah dipindah milik melalui jualan kepada Sarawak Rubber Fund. Dana institusi ini, yang telah diwujudkan sebelum fasa Perang Dunia Kedua, dikumpul secara sistematik melalui kutipan cukai ses (cess tax) ke atas komoditi eksport getah.
Tabung ini digunakan selepas perang untuk meningkatkan kualiti penghasilan getah di Sarawak. Tabung ini pula diurus oleh Sarawak Rubber Estates Ltd.
Estet ini dianggarkan mampu membekalkan sebanyak 500,000 bahan tanaman tunggul cantuman (budded stumps) setahun, di samping membolehkan usaha pemulihan kawasan estet tersebut dijalankan secara serentak.
Selain itu, bekas estet Jepun ini turut direncanakan sebagai pusat latihan amali bagi komuniti pekebun tempatan.
Pemprosesan
Sementara itu usaha untuk memproses getah oleh Kilang Getah Kuap menghadapi masalah dalam mendapatkan susu getah (lateks). Hal ini berpunca daripada masalah pengeluaran pekebun kecil masih lagi tidak mencukupi untuk menampung pemintaan kilang tersebut.
Kesan ketara dalam hal ini menyebabkan cadangan untuk membina sebuah lagi kilang getah di Sibu terpaksa ditangguhkan. Ini kerana di hilir Bahagian Ketiga juga mengalami masalah pengeluaran yang rendah.
Di sebalik pelbagai kekangan tersebut, kilang di Kuap masih berupaya menghasilkan getah gred tinggi, iaitu Getah Kepingan Berasap No. 1 (RSS 1). Malah pada 1953, pengeluaran bagi gred No. 1 ini kekal konsisten pada tahap yang amat tinggi, iaitu mencatatkan kadar sebanyak 97 peratus.
Kekangan utama dalam isu ini tertumpu kepada ketidakupayaan golongan pekebun kecil untuk menghasilkan getah gred No. 1 sepenuhnya. Pihak agensi kerajaan juga menghadapi kesukaran untuk mempengaruhi golongan tersebut berikutan jurang harga yang sangat kecil antara getah gred No. 1 dengan gred No.3.
Pengeluaran
Dalam aspek eksport getah pula, pengeluaran getah untuk tujuan eksport menunjukkan penurunan akibat kejatuhan harga getah. Jika dibandingkan, jumlah eksport getah pada 1952 ialah sebanyak 528,541 pikul, namun menurun kepada 402,486 pikul pada 1953.
Harga getah bagi setiap pikul pada ketika itu juga menunjukkan kejatuhan ketara. Pada 1952, harga getah ialah sebanyak $106.19 sepikul, tetapi menurun kepada $69.41 sepikul pada tahun berikutnya.
Secara keseluruhannya, dinamika perkembangan penanaman getah di Sarawak pada 1953 telah memberi cabaran hebat kepada kelangsungan hidup masyarakat tempatan.
Impaknya tidak sekadar mengehadkan jumlah pengeluaran getah untuk pasaran eksport, malah turut mencetuskan ketidakstabilan sosial yang ketara melalui peningkatan aktiviti jenayah di wilayah Baram.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).