Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • DUN: AirBorneo sasar laluan antarabangsa, Sarawak perkukuh hab penerbangan serantau
  • TEMPATAN

DUN: AirBorneo sasar laluan antarabangsa, Sarawak perkukuh hab penerbangan serantau

Utusan Sarawak 5 hours ago
DATO Sri Lee Kim Shin ketika ucapan penggulungan Kementerian Pengangkutan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Foto JAPEN

PETRA JAYA: AirBorneo dijangka melakar sejarah baharu dalam industri penerbangan negeri apabila merancang memulakan penerbangan jet berjadual ke beberapa destinasi utama termasuk Jakarta dan Singapura bermula suku ketiga tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, syarikat penerbangan milik Sarawak itu merancang menyewa tiga pesawat Boeing B737-800NG bagi memperluas operasi melangkaui perkhidmatan udara luar bandar (RAS).

Menurut beliau, laluan yang disasarkan termasuk Kuching-Kuala Lumpur, Kuching-Kota Kinabalu, Kuching-Jakarta dan Kuching-Singapura tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa serta kesiapsiagaan operasi.

Katanya, AirBorneo bukan sahaja akan memainkan peranan sebagai pengendali RAS, malah akan berkembang sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh yang menawarkan pengalaman perjalanan lebih komprehensif kepada penumpang.

“Sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh pada masa hadapan, AirBorneo akan menawarkan pelbagai kelas kabin, perkhidmatan dalam penerbangan percuma, bagasi daftar masuk terus serta jaringan antarabangsa menerusi kerjasama kod perkongsian dan pakatan syarikat penerbangan,” katanya ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Sarawak turut mencatat peningkatan pergerakan penumpang udara sebanyak 9.58 peratus kepada 2.8 juta penumpang bagi suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, Sarawak kini merekodkan purata 46 penerbangan antarabangsa seminggu dan 533 penerbangan domestik dari negeri lain selain 670 penerbangan mingguan dalam Sarawak menerusi RAS.

FOTO AirBorneo.

Tambah beliau, pelancaran penerbangan terus Guangzhou-Kuching oleh Batik Air pada Mac lalu turut memperkukuh jaringan antarabangsa negeri.

Lee Kim Shin berkata, kerajaan negeri juga sedang memperkukuh infrastruktur penerbangan termasuk pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu di Tanjung Embang yang telah disahkan berdaya maju menerusi kajian kebolehlaksanaan.

Menurutnya, pembangunan NKIA akan menyokong aspirasi Sarawak menjadi hab penerbangan dan logistik utama di rantau Borneo.

Pada masa sama, beliau mengakui isu tambang penerbangan mahal masih menjadi kebimbangan rakyat terutama ketika musim perayaan dan cuti sekolah.

Katanya, harga tiket penerbangan dipengaruhi faktor permintaan pasaran, kos operasi, harga bahan api serta kekangan pesawat global pasca pandemik.

“Kerajaan Sarawak memahami keresahan rakyat mengenai tambang tinggi, namun pada masa sama industri penerbangan juga berdepan cabaran kos operasi yang besar,” katanya.

Beliau berkata, AirBorneo telah menawarkan diskaun tambang 20 peratus sempena Aidilfitri dan akan meneruskan promosi sama bagi musim Kaamatan dan Hari Gawai.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: DUN: Elaun ahli MAIS diganda, KMKK naik RM400 mulai 2026
Next: DUN: Kerajaan kaji naik taraf Sungai Asap, Balingian dan Lawas, dasar lesen senapang patah kekal

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.