BEKENU: Tempat tumpuan orang ramai pada hujung minggu di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sibuti kini mulai menimbulkan keresahan penularan wabak Covid-19 di Daerah Subis.
Tinjauan Utusan Sarawak di RTC di sini pagi semalam mendapati orang ramai telah awal memenuhi sekitar kawasan tersebut untuk membeli-belah ke tamu sayur dan pasar ikan.
Sehubungan itu, kawasan pakir kenderaan turut dipenuhi oleh penjaja payung yang menjual kuih-muih, pakaian, bunga-bungaan dan banyak lagi.
Keadaan ini telah mengakibatkan tiada tempat pakir dan memaksa pengunjung RTC meletakkan kenderaan mereka di kiri kanan Jambatan Sibuti.
Seorang pengunjung hanya dikenali Ana yang hendak ke RTC melihat keadaan yang penuh itu telah mengambil keputusan patah balik tidak jadi ke kawasan tersebut.
Katanya, keadaan sedemikian berlaku pada setiap penghujung minggu dan keadaan itu kini mulai meresahkan yang bimbangkan penularan wabak Covid-19 akan berlaku.
“Ramai sudah tahu Daerah Subis kini di kategori zon kuning dengan ada kes penduduk positif Covid-19 di kawasan Suai dan Batu Niah.
“Kawasan Suai dan Batu Niah adalah dalam Daerah Subis dan tidak jauh perjalanan ke Bekenu, maka berharap orang ramai patuhi SOP dengan memakai pelitup muka,” jelasnya.
Sementara itu, seorang peniaga yang hanya mahu dikenali Mr. Tan (pekan Bekenu) turut menasihati semua pekerjanya agar tidak ke RTC ketika kawasan itu dipenuhi pengunjung semalam.
Beliau menyeru agar ada pihak bertanggungjawab dan berkuasa untuk melihat dan memantau RTC untuk menjaminkan penularan sekali gus memutuslan rantaian Covid-19 yang bahaya kepada semua.
Oleh ADUM LIU