
PETRA JAYA: Gangguan rangkaian internet di sebuah stesen minyak di Asajaya menyebabkan urusan pembayaran subsidi BUDI95 tergendala, sekali gus menyukarkan pengguna membeli petrol menggunakan sistem berkenaan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, hasil semakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan mendapati premis stesen minyak terbabit bergantung sepenuhnya kepada rangkaian mudah alih 4G bagi menjalankan transaksi pembelian petrol bersubsidi.

“Kaedah tersebut tidak menepati amalan terbaik bagi urusan transaksi atas talian yang kritikal seperti BUDI95 kerana penggunaan rangkaian mudah alih semata-mata lebih terdedah kepada gangguan perkhidmatan.
“Bagi transaksi kritikal seperti penggunaan BUDI95, perkhidmatan rangkaian talian tetap menggunakan gentian optik seperti Unifi sepatutnya dijadikan talian utama, manakala rangkaian mudah alih berfungsi sebagai sistem sandaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Tambah beliau, gangguan internet yang berlaku di Bahagian Samarahan sebelum ini berpunca daripada kabel gentian optik yang terputus akibat kerja pihak ketiga selain aktiviti gangguan bekalan elektrik berjadual bagi memberi laluan kepada pelaksanaan projek pembangunan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata liputan internet di kawasan berpenempatan di Sarawak kini telah mencapai 94.5 peratus hasil pelaksanaan projek menara telekomunikasi SMART dan JENDELA Fasa 1 yang siap sepenuhnya pada penghujung tahun lalu.
“Bagaimanapun isu berkaitan kualiti dan kestabilan perkhidmatan masih berlaku di beberapa kawasan.
“Lawatan MCMC Sarawak bersama Ahli Parlimen Samarahan, Datuk Rubiah Wang ke beberapa kawasan pada 8 Mei lalu turut mendapati terdapat pemasangan peranti komunikasi tidak sah yang menyumbang kepada gangguan isyarat liputan mudah alih serta menjejaskan kualiti panggilan dan prestasi internet,” jelasnya.
Sehubungan itu, SACOFA kini melaksanakan langkah pemulihan rangkaian bersasar dan inisiatif penambahbaikan rangkaian bagi meningkatkan kestabilan serta kebolehpercayaan perkhidmatan internet di seluruh Sarawak.
Katanya, penyedia perkhidmatan turut disaran memperkukuh sistem bekalan kuasa sandaran bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dapat dikekalkan ketika berlaku gangguan.
Oleh Masrin Affirah