Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Sekolah baharu SMK Bukit Goram simbol komitmen perkasa pendidikan pedalaman
  • PENDIDIKAN

Sekolah baharu SMK Bukit Goram simbol komitmen perkasa pendidikan pedalaman

Utusan Sarawak 7 hours ago
SEKITAR tinjauan tapak projek pembinaan baharu sekolah SMK Bukit Goram, hari ini. Foto Alexander Nanta Linggi

KAPIT: Pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Goram di sini dilihat sebagai simbol komitmen kerajaan dalam memperkasa akses pendidikan berkualiti untuk masyarakat luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan bakal menyediakan suasana pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada pelajar, guru serta warga sekolah di kawasan Kapit.

Katanya, projek itu melibatkan pembinaan sekolah menengah baharu yang mengandungi 36 bilik darjah berserta pelbagai kemudahan mengikut piawaian semasa.

“Antara kemudahan yang akan dibina termasuk blok pentadbiran, blok akademik, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) menengah, kantin, dewan sekolah, surau, kemudahan menunggu kenderaan, laluan berbumbung dan kemudahan sokongan lain.

“Projek ini merupakan satu pelaburan besar untuk pendidikan di Kapit dan akan dilaksanakan melalui kaedah Reka dan Bina di atas tanah seluas kira-kira 7.189 hektar,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat serta meninjau tapak projek pembinaan sekolah itu di sini, hari ini.

SEKITAR tinjauan tapak projek pembinaan baharu sekolah SMK Bukit Goram, hari ini. Foto Alexander Nanta Linggi

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, beliau memandang serius pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan masyarakat pedalaman tidak terus ketinggalan dalam menikmati kemudahan pendidikan moden.

“Setiap perancangan, jadual pelaksanaan dan penyelarasan antara agensi mesti berjalan lancar demi memastikan institusi pembelajaran di kawasan pedalaman dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan sekolah-sekolah lain di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan projek pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melalui tender terbuka prakelayakan secara kluster bagi memastikan proses perolehan dan pelaksanaan lebih tersusun.

Menurut beliau, pembinaan SMK Bukit Goram turut memberi harapan baharu kepada anak-anak di kawasan pedalaman untuk menikmati kemudahan pendidikan yang setanding dengan kawasan lain di negara ini.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan projek ini dan membawa suara masyarakat Kapit supaya pelaksanaannya berjalan lancar, telus dan memberi manfaat sebenar kepada warga sekolah serta komuniti setempat,” katanya.

Oleh Tarani Lanting

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: DUN: Prasarana pendidikan Sarawak diperkukuh melalui 81 projek siap

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.