KUCHING: Suasana Medan Niaga Satok dilihat meriah pada hujung minggu dan rata-rata peniaga mula berasa lega dengan kehadiran pengunjung untuk membeli-belah di situ.
Menurut Remy Casedy, 34, penjual sayur, rutin berniaga di sini kembali seperti biasa meskipun keadaan tidak seramai dahulu ekoran orang ramai masih lagi berjaga-jaga untuk keluar ke kawasan tumpuan.
“Dengan adanya prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) perniagaan di sini dapat dijalankan seperti biasa yang mana peniaga dan pengunjung hanya perlu mematuhi SOP yang dicadangkan.
“Namun jualan ada sedikit berkurang bukan disebabkan kekurangan pengunjung, tetapi mungkin disebabkan cuaca kerana stok produk sayur juga terjejas dan harga produk meningkat sedikit kerana permintaan yang tinggi,” jelasnya.
Bagi Fatihi Ahab, 55, penjual kuih tradisional di medan ini sedikit gembira kerana pengunjung semakin ramai mengunjungi untuk membeli barang makanan mentah dan kuih-muih.
“Keadaan sekarang lebih selamat kerana pengunjung semua sudah biasa dengan norma baharu dengan mengamalkan penjarakan fizikal, selain memakai pelitup muka dan dilihat kerap membasuh tangan.
“Kini saya hanya fokus dengan penjualan di gerai di sini sahaja berbanding dahulu apabila kurang mendapat tempahan untuk menyediakan kuih dalam pelbagai majlis ekoran majlis seperti kenduri kahwin dan tahlil tidak dibenarkan,” katanya yang turun memulakan perniagaan sejak 4.30 pagi.
Menurut Fatihi, beliau sering membuat siaran langsung di Facebook bagi menarik pelanggan untuk membeli kuih-muih yang dijualnya dan ini merupakan satu alternatif yang beliau ceburi bagi meningkatkan hasil jualan.
Justin Goh, 48, peniaga tumbuhan hiasan pula memberi reaksi positif terhadap suasana terkini di medan niaga ini kerana hasil jualannya meningkat berbanding dahulu mungkin kerana orang ramai mempunyai hobi baharu untuk menanam tumbuhan perhiasan.
“Selain orang ramai mempunyai hobi baharu, pengurusan medan ini juga meletakkan semua kedai dalam satu tempat memberi peluang untuk orang menjelajah ke seluruh medan ini dan semua kedai dapat dikunjungi.
“Meskipun ramai orang datang ke gerai, saya masih berhati-hati dan sentiasa mengarahkan pekerja untuk sentiasa cuci tangan dan sembur semburan sanitasi selepas menerima duit dari pembeli,” katanya.
Justin juga menggunakan inisiatif baharu dalam perniagaan apabila menerima transaksi pembayaran melalui Sarawak Pay dan juga Touch ‘n Go yang mana ia lebih selamat dan mudah.
Oleh ASYRAF HALIM