Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • MCMC sedang muktamadkan kod keselamatan bendung penyebaran CSAM – Teo
  • NASIONAL

MCMC sedang muktamadkan kod keselamatan bendung penyebaran CSAM – Teo

Utusan Sarawak 4 hours ago
TIMBALAN Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menyampaikan ucapan pembukaan pada sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) serta Hari Gadis dalam ICT (GICT) hari ini. Foto Bernama.

SUBANG JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memuktamadkan kod keselamatan bagi membendung penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM), dengan pelaksanaannya dijangka pada bulan depan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, kod keselamatan berkenaan akan menghendaki platform dalam talian bertindak segera untuk menyekat akses serta menurunkan kandungan berbahaya, dengan CSAM diklasifikasikan sebagai kategori berkeutamaan tinggi di bawah kerangka Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) negara.

“Pada masa ini, MCMC masih membangunkan kod keselamatan itu. Kita harap mendapat kerjasama yang lebih baik daripada platform-platform berkaitan bagi memastikan kandungan berbahaya dapat diturunkan dengan lebih pantas, sekali gus mewujudkan dunia digital yang lebih selamat untuk setiap pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) 2026 dan program Girls in ICT (GICT) anjuran MCMC di sini hari ini.

Teo berkata, berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes CSAM mencatatkan peningkatan daripada 31 kes pada 2020 kepada 44 pada 2021 sebelum menurun kepada 28 kes pada 2022, namun jumlah berkenaan kembali meningkat kepada 67 kes pada 2023 dan 68 kes (2024), sebelum melonjak kepada 152 kes pada tahun lepas.  

Beliau berkata, sejak Januari lepas hingga kini sebanyak 100 kes telah direkodkan, sambil memberi amaran bahawa angka itu mungkin hanya sebahagian kecil daripada keadaan sebenar kerana peningkatan ketersambungan dan kewujudan alat penjanaan kandungan yang semakin meluas, menjadikan bahan seumpama itu lebih mudah dihasilkan dan disebarkan.

Memuji kemajuan rangkaian digital negara, Teo berkata Malaysia hampir mencapai tahap penggunaan Internet menyeluruh menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dengan 98.4 peratus lelaki dan 97.6 peratus wanita menggunakan Internet, di samping liputan 4G dan 5G yang kukuh.

Bagaimanapun, beliau berkata aspek keselamatan perlu diperkasakan seiring dengan kemajuan ketersambungan, di samping perlunya lebih banyak penglibatan wanita dalam pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecerdasan buatan (AI), dengan menyatakan bahawa wanita perlu menjadi “arkitek teknologi”, bukannya sekadar pengguna.

Bertemakan Talian Hayat Digital: Memperkukuh Daya Tahan dalam Dunia Berhubung dan Kecerdasan Buatan untuk Pembangunan: Wanita Membentuk Masa Depan Digital, WTISD menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, pemimpin industri, rakan antarabangsa, ahli akademik, pelajar serta wakil media bagi memperkukuh agenda digital negara.

Program berkenaan memberi penekanan terhadap peranan infrastruktur digital dalam menyokong kelangsungan ekonomi, keselamatan masyarakat dan daya tahan komuniti manakala GICT pula menumpukan kepada usaha memperkasakan golongan remaja perempuan dan wanita muda supaya memainkan peranan lebih aktif dalam mencorak masa depan teknologi dan inovasi digital. 

Dalam perkembangan lain, Teo berkata projek Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 kini berada pada peringkat awal pelaksanaan dan dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata MCMC telah melantik perunding bagi memberi khidmat nasihat berhubung pelaksanaan projek terbabit.

Menurut Teo, projek berkenaan merupakan satu inisiatif besar negara dan memerlukan perundingan yang teliti bagi memastikan spesifikasi serta proses tender dilaksanakan dengan sewajarnya.

Pembinaan SALAM dengan peruntukan RM2 bilion penting dalam memperkukuh infrastruktur digital negara, di samping menyokong kapasiti Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SCREAM) yang telah digunakan sejak sekian lama.

Kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer itu akan dibangunkan oleh MCMC dengan melibatkan laluan bawah laut dari Sedili di Johor ke Kuching dan Sibu di Sarawak, sebelum disambungkan seterusnya ke Tuaran, Kudat, Pulau Banggi, Sandakan dan Tawau di Sabah. – Bernama

Continue Reading

Previous: PKR sahkan terima hasrat Rafizi, Nik Nazmi kosongkan kerusi dan keluar parti
Next: TDM laksana penambahbaikan syarat pengambilan perajurit muda

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.