Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Pembangunan Kapit terus diperkasa melalui kerjasama semua pihak – Nanta
  • TEMPATAN

Pembangunan Kapit terus diperkasa melalui kerjasama semua pihak – Nanta

Utusan Sarawak 11 hours ago
DATO Sri Alexander Nanta Linggi ketika menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Seblie Ngelai, Nanga Dap, Batang Rajang Kapit, semalam. Foto Facebook Alexander Nanta Linggi

KAPIT: Pembangunan di Bahagian Kapit akan terus diperkasa menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, wakil rakyat dan komuniti setempat bagi memastikan kawasan luar bandar tidak terus tercicir daripada arus pembangunan.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan berpasukan itu penting dalam memastikan pelaksanaan projek infrastruktur dan kemudahan asas dapat memberi manfaat langsung kepada rakyat di pedalaman.

Menurutnya, sepanjang tempoh tiga tahun lima bulan menerajui Kementerian Kerja Raya, lebih RM2.1 bilion peruntukan Kerajaan Persekutuan telah dibawa masuk ke Bahagian Kapit bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan.

“Antara projek utama termasuk pembinaan Jambatan Sungai Belawai bernilai lebih RM300 juta, jalan dari Nanga Belawai ke Nanga Seranau melebihi RM400 juta, selain projek pembinaan Kolej Profesional MARA dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit yang baharu,” katanya.

SEKITAR berlangsungnya Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Seblie Ngelai, Nanga Dap, Batang Rajang, Kapit semalam. Foto Facebook Alexander Nanta Linggi

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Seblie Ngelai, Nanga Dap, Batang Rajang dekat sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang serta Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya Datuk Alvin Runggah Jimbun.

Nanta, yang juga Ahli Parlimen Kapit selama lebih 27 tahun, berkata komitmen terhadap pembangunan Kapit tetap menjadi keutamaan walaupun tanggungjawab beliau kini meliputi seluruh negara.

Menurutnya, pelbagai projek pembangunan sedang dan telah dilaksanakan di kawasan itu termasuk pembinaan jalan raya, jambatan, bekalan air, bekalan elektrik, kemudahan awam serta projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).

Beliau berkata, antara projek strategik yang sedang diberi perhatian ialah jalan dari Nibong/Tada ke Sungai Belawai, pembinaan jambatan menyeberangi Batang Rajang di Sungai Belawai serta sambungan jalan dari Nanga Belawai ke Nanga Seranau dan kawasan sekitar Kapit.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian terhadap isu Jalan Jiwa Murni walaupun laluan berkenaan tidak dibina mengikut spesifikasi Jabatan Kerja Raya.

“Usaha penyelesaian akan terus dilaksanakan bersama ADUN kawasan, kerajaan negeri dan agensi berkaitan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Mengenai kemudahan asas di luar bandar, beliau berkata projek Sistem Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) membuktikan komitmen kerajaan menyediakan akses tenaga kepada komuniti pedalaman sementara menunggu sambungan grid tetap oleh Sarawak Energy.

Pada majlis sama, Nanta turut mengumumkan peruntukan RM250,000 bagi projek bekalan air untuk Rumah Seblie Ngelai serta RM5,000 kepada Biro Wanita bagi 20 rumah panjang yang belum menerima peruntukan sebelum ini.

Beliau turut menyifatkan rumah panjang bukan sekadar tempat tinggal, sebaliknya simbol perpaduan, warisan dan kekuatan komuniti masyarakat Iban di Sarawak.

“Tiada kawasan yang harus ditinggalkan. Saya yakin melalui kerjasama erat semua pihak, lebih banyak kemajuan dapat dibawa ke Bahagian Kapit,” katanya.

Oleh Tarani Lanting

Continue Reading

Previous: Zon bebas cukai Bintulu dijangka tarik lebih ramai pelabur
Next: DUN: Isu bas sekolah cetus perdebatan antara Roland Sagah, Chong

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.