WASHINGTON: Biden, 78, semalam mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-46 di hadapan Hakim Mahkamah Agung, John Roberts, di bangunan Capitol, Washington DC.
Terdahulu, Kamala Harris, 56, selaku wanita pertama dan individu pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik sebagai Naib Presiden AS, mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Agung, Sonia Sotomayor.
Bekas Presiden AS, Donald Trump, meninggalkan Washington tiga jam sebelum Biden mengangkat sumpah, sekali gus menjadi presiden pertama dalam 150 tahun yang tidak menghadiri majlis pelantikan penggantinya.
Biden, yang juga bekas naib Presiden AS dan Senator veteran, dilantik Presiden AS ke-46 di bangunan Capitol, lokasi sama yang melihat penyokong Trump merusuh dua minggu lalu membantah keputusan pilihan raya presiden AS pada 3 November lalu.
Kemenangan ini adalah penantian 34 tahun Biden, yang pertama kali mencuba nasib bertanding bagi jawatan Presiden AS pada 1987 dan di usia 78 tahun, beliau juga adalah Presiden AS yang tertua.
Namun, buat pertama kali dalam sejarah 200 tahun, upacara angkat sumpah Presiden AS dan Naib Presiden dipilih, Kamala Harris, kurang meriah kerana kehadiran orang ramai terpaksa dihadkan berikutan pandemik Covid-19.
Malah, tragedi rusuhan penyokong Trump dua minggu lalu mendorong pihak berkuasa mengerahkan 25,000 anggota berkawal bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
Laman di hadapan bangunan Capitol dihiasi kira-kira 200,000 bendera sebagai petanda simbolik menggantikan orang ramai yang tidak dapat dijemput bagi memeriahkan cara itu.
Sementara itu, Trump meminta rakyat AS mendoakan kejayaan pentadbiran yang bakal diterajui penggantinya, Biden, dalam ucapan menerusi rakaman video selepas hampir dua minggu menghilang.
Biden memulakan tugas sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-46, semalam, bertekad dan optimis untuk mengukuhkan perpaduan.
Beliau berikrar akan merapatkan jurang perpecahan rakyat yang semakin mendalam serta mengatasi ekstremisme domestik, kira-kira dua minggu selepas tercetus rusuhan ganas bagi menafikan kemenangannya pada Pilihan Raya Presiden.
Meskipun tanpa kehadiran orang ramai susulan kawalan keselamatan yang ketat dan faktor pandemik Covid-19, Biden tetap melontarkan ucapan penuh bersemangat di hadapan National Mall.
“Demokrasi adalah sangat berharga. Demokrasi adalah rapuh dan ketika ini, rakan sekalian, demokrasi terus wujud.
“Kita mesti menamatkan perang tidak bertamadun ini yang saling melaga-lagakan, pedalaman melawan bandar, konservatif melawan liberal.
“Kita mampu melakukannya jika bersikap terbuka dan tidak keras hati, menzahirkan sifat bertolak ansur serta rendah diri, dan bersedia untuk saling memahami.
“Kita bersama-sama melakarkan kisah rakyat AS mengenai harapan, bukan ketakutan; perpaduan, bukan perpecahan; diterangi sinar, bukan dirundung kegelapan.
“Kisah mengenai kesopanan, maruah, kasih sayang, pemulihan dan kebaikan,” katanya.
Biden yang berpengalaman menyandang jawatan Naib Presiden selama lapan tahun bawah pentadbiran Barack Obama sebelum ini, turut meminta penyokong Trump agar mengetepikan permusuhan politik.
“Saya akan menjadi Presiden kepada seluruh rakyat AS,” katanya sambil menegaskan negara ini sedang berdepan peningkatan ekstremisme politik, isu ketuanan kulit putih serta keganasan domestik yang mesti ditentang dan akan diatasi.
“Sejarah menyaksikan pergelutan berterusan antara impian ideal rakyat AS bahawa kita semua diciptakan sama, dengan hakikat jelik bahawa perkauman, keperibumian, ketakutan dan cercaan telah sekian lama memecahbelahkan kita,” katanya. – AFP