
KUCHING: Suasana hari kedua Festival Muzik Kuching 2026 (KMF) terus mencuri perhatian apabila pengunjung bukan sahaja dari seluruh Sarawak, malah turut hadir dari Sabah, sekali gus menjadikan acara itu sebagai platform kebersamaan serantau yang penuh warna.
Tinjauan Utusan Sarawak di lokasi mendapati festival berkenaan bukan sekadar acara hiburan, sebaliknya menjadi ruang sosial yang menghimpunkan rakan-rakan serta keluarga dalam suasana santai, meriah dan penuh tenaga sejak awal malam.
Bagi Huda, 26, pengalaman berada di festival tersebut cukup menyeronokkan dengan suasana yang “meriah” serta pilihan makanan yang pelbagai di kawasan acara.
“Memang meriah. Banyak makanan sedap dan barisan artis pun okey bagi kami,” katanya.
Huda berkata beliau hadir bersama suami dan menganggap festival itu sesuai dijadikan aktiviti hujung minggu untuk mengeratkan hubungan serta menikmati suasana hiburan secara santai.

Sementara itu, Afredzan, 24, berkata beliau antara yang menantikan persembahan penyanyi Indonesia Cakra Khan yang terkenal dengan vokal unik serta lagu popular seperti Seluruh Cinta dan Kekasih Bayangan.
Menurutnya, kehadiran rakan-rakan dari Sabah yang turut sama menyertai perjalanan ke Kuching menjadikan pengalaman festival itu lebih bermakna kerana mereka dapat merasai sendiri suasana acara berskala besar di Sarawak.
“Untuk kawan saya dari Sabah, ini pengalaman yang agak membuka mata sebab di sana jarang ada festival sebesar ini. Jadi bila datang Kuching, memang lain dia punya suasana,” kongsinya.
Beliau berkata suasana festival yang dipenuhi pengunjung pelbagai latar belakang jelas menunjukkan keterbukaan dan sokongan terhadap industri hiburan tempatan serta serantau.

Pandangan sama turut dikongsi Rahman Hakim, 23, yang hadir bersama rakannya, Anselm, 23, dan rakan mereka dari Sabah, Elter Bronstein, 23, yang sama-sama mengikuti rombongan tersebut.
Rahman berkata festival berkenaan bukan sahaja menjadi medan hiburan, tetapi juga mencerminkan semangat kebersamaan apabila pengunjung berkumpul tanpa mengira negeri atau latar belakang.
“Kita boleh lihat orang ramai datang dari pelbagai tempat termasuk Sabah dan Sarawak sendiri untuk sama-sama memeriahkan festival ini,” katanya.
Menurutnya, pengalaman menghadiri festival secara berkumpulan menjadikan suasana lebih menyeronokkan kerana setiap detik dapat dikongsi bersama rakan-rakan.
“Kalau pergi konsert memang lebih seronok kalau dengan kawan-kawan sebab boleh berhibur sama-sama,” ujarnya.
Elter yang berasal dari Sabah pula berkata pengalaman berada di Kuching memberikan perspektif berbeza terhadap penganjuran acara hiburan berskala besar.

“Setakat ini pengalaman saya di Kuching memang sangat baik. Saya harap lebih ramai orang luar datang untuk melihat sendiri keunikan festival di sini,” ujarnya penuh gembira menantikan persembahan malam ini.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan suasana di Sarawak lebih tersusun dan mesra pengunjung, sekali gus menjadikan pengalaman festival lebih selesa.
Sementara itu, beberapa pengunjung turut mengemukakan cadangan penambahbaikan termasuk aspek parkir, susunan gerai serta kemudahan tontonan tambahan seperti skrin besar di kawasan tepi pentas bagi memberi keselesaan kepada pengunjung yang berada jauh dari pentas.
Rahman mencadangkan agar kemudahan seperti skrin tambahan disediakan khususnya untuk golongan warga emas dan kanak-kanak supaya mereka tetap dapat menikmati persembahan tanpa perlu bersesak di kawasan hadapan pentas.
Secara keseluruhannya, Festival Muzik Kuching 2026 terus dilihat sebagai acara hiburan yang bukan sahaja meriah, malah berjaya menghubungkan pengunjung dari pelbagai negeri termasuk Sabah, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai festival yang dinantikan setiap tahun.
Oleh Adele Rissa