
MOSCOW: Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dalam serangan dron secara besar-besaran di Wilayah Moscow, menurut gabenor wilayah itu, Andrei Vorobyov, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Bermula 3.00 pagi (tengah malam GMT), pasukan pertahanan udara telah menangkis serangan dron ke atas Wilayah Moscow. Dua lelaki maut di kampung Pogorelki (Mytishchi). Di sana, serpihan dron menimpa sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan,” kata Vorobyov di Max.
Seorang wanita maut selepas sebuah dron mengenai sebuah rumah di Khimki, manakala seorang lagi masih tertimbus di bawah runtuhan, tambah gabenor itu.
Beliau berkata, bangunan pangsapuri di bandar Krasnogorsk turut terkena serangan tanpa melibatkan kemalangan jiwa, manakala di Daerah Bandar Istra, empat orang cedera.
Dron berkenaan turut menyasarkan kemudahan infrastruktur di beberapa kawasan perbandaran, kata Vorobyov. – Bernama