
SARIKEI: Seramai 36 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarikei menyertai latihan bulanan bagi memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kecemasan dan bencana semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi berkata, latihan yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang tersebut diadakan berhampiran bawah Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman.
“Latihan dijalankan mengikut silibus dan jadual latihan yang telah ditetapkan oleh Unit Latihan.
“Ia melibatkan pelbagai aktiviti termasuk ulang kaji silibus, kawad kaki, pengenalan pengendalian peralatan operasi dan praktikal penggunaan peralatan operasi,” katanya ketika dihubungi.


Tambahnya, anggota APM Sarikei turut diberi penekanan terhadap aspek kepimpinan, kepatuhan arahan dan semangat kerja berpasukan sepanjang latihan kawad dilaksanakan.
“Pengendalian serta praktikal penggunaan peralatan operasi dilaksanakan bagi meningkatkan tahap pengetahuan, kemahiran dan kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan dan bencana.
“Latihan ini juga membantu meningkatkan disiplin serta keyakinan anggota ketika melaksanakan tugas operasi di lapangan,” katanya.
Oleh Earl Anek