GENEVA: :Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam menggesa Israel menghentikan dan menarik balik keputusannya minggu lalu untuk membina 800 unit penempatan haram Yahudi di wilayah didudukinya di Tebing Barat.
Menurut Guteres, keputusan itu akan menjadi penghalang terbesar untuk mencapai penyelesaian dua negara, perdamaian yang adil, kekal dan menyeluruh di Asia Barat.
“Pembinaan penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967, termasuk di timur Baitulmaqdis adalah tidak sah dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Perluasan penempatan haram ini menjadikan kemungkinan berakhirnya pendudukan Israel semakin tipis dan lahirnya sebuah negara Palestin yang berdaulat dan maju,” katanya.
Ahad lalu, Israel meluluskan pembinaan 780 unit penempatan di Tebing Barat selepas ia diarahkan oleh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Ketika ini, terdapat kira-kira 450,000 pendatang Yahudi yang tinggal di Tebing Barat bersama lebih 2.7 juta penduduk Palestin.
Semalam, Tentera Israel mengatakan pesawat tempurnya menyerang penempatan Hamas di Semenanjung Gaza, selepas penduduk Palestin menyasarkan roket ke negaranya.
Dua roket dipercayai ditembak dari Semenanjung Gaza menghala ke arah pantai berhampiran bandar selatan Ashdod, menurut kenyataan tentera.
“Sebagai tindak balas pesawat pejuang menyasarkan tentera Hamas di Semenanjung Gaza, termasuk kawasan penggalian terowong,” katanya.
Bagaimanapun, tiada laporan kerosakan daripada roket Palestin, menurut sumber yang memaklumkan roket mendarat di laut Mediterranean.
Sementara itu, sumber pasukan keselamatan Palestin di Gaza, berkata serangan Israel memusnahkan ‘tanah pertanian’ di selatan wilayah Khan Yunis di semenanjung terbabit, mengakibatkan kemusnahan harta benda, namun tiada laporan kecederaan.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab bagi pelancaran roket dari Gaza yang diperintah Hamas.
Penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat yang dijajah Israel sedang mengadakan pilihan raya yang dijangka diadakan pada Mei dan Julai ini, pilihan raya pertama, selepas tempoh 15 tahun. – AFP