
LONDON: Bernardo Silva berkata Manchester City masih mempunyai “sedikit impian” untuk menjuarai Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Chelsea 1-0 pada final Piala FA, sekali gus melengkapkan kejuaraan berganda piala domestik.
Antoine Semenyo menjaringkan gol tunggal perlawanan yang hambar di Wembley itu menerusi aksi magis pada minit ke-72 untuk memecahkan benteng pertahanan Chelsea.
Erling Haaland, yang bekerja keras sepanjang perlawanan meskipun kurang mendapat peluang, melakukan hantaran kepada Semenyo sebelum pemain itu menyudahkan peluang dengan jaringan cantik menggunakan kaki kanan menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.
Silva yang sudah lama bersama City dan bakal meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini berkata dia gembira dapat menambah satu lagi trofi dalam koleksinya sejak menyertai Etihad pada 2017.
“Amat istimewa. Saya benar-benar gembira. Segala-galanya mengenai perjalanan saya di Man City sangat hebat,” kata kapten City itu kepada BBC.
“Harapnya kami masih mempunyai sedikit impian untuk terus bersaing memburu gelaran Liga Perdana.
“Hari ini kami sangat gembira. Ia cukup istimewa buat saya kerana dalam musim terakhir saya dapat menghadiahkan satu lagi trofi kepada mereka. Harapnya bukan yang terakhir.”
City, yang turut menjuarai Piala Liga pada Mac lalu, kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga Arsenal dengan baki dua perlawanan.
Arsenal akan menerima kunjungan Burnley pada Isnin manakala City bertandang ke Bournemouth sehari selepas itu.
Silva, 31, turut memuji pengurus City, Pep Guardiola, yang menurutnya banyak mempengaruhi kariernya dan “mengubah cara” dia melihat bola sepak.
“Lapan puluh peratus karier saya bersama beliau sebagai pengurus,” katanya.
“Semua yang saya harapkan untuk capai berlaku bersama beliau.
“Hubungan kami sangat kuat melalui saat-saat kecewa dan juga kejayaan. Saya sangat mengambil berat mengenai Man City.” — AFP