Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • 121 pelajar cemerlang SPM Parlimen Tanjong Manis terima insentif penghargaan
  • PENDIDIKAN

121 pelajar cemerlang SPM Parlimen Tanjong Manis terima insentif penghargaan

Utusan Sarawak 13 hours ago
AHLI Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab menyerahkan sijil dan intensif penghargaan kepada pelajar cemerlang lepasan SPM 2025, hari ini.

SARIKEI: Seramai 121 pelajar cemerlang menerima sijil dan insentif penghargaan pada Majlis Penyampaian Sijil dan Insentif Penghargaan Pelajar Cemerlang SPM 2025 Parlimen Tanjong Manis di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei, hari ini.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab berkata, kejayaan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan disiplin, pengorbanan dan ketekunan tinggi.

“Tahniah atas pencapaian yang sangat membanggakan ini.

“Mendapat 5A dan ke atas dalam SPM bukanlah satu tugas yang mudah, ia memerlukan disiplin, pengorbanan masa, dan ketekunan yang tinggi,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut.

Katanya, keputusan cemerlang yang diperoleh pelajar bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya melambangkan pengorbanan dan usaha yang dilakukan sepanjang tempoh pembelajaran.

“Pelajar sekalian, keputusan cemerlang yang anda genggam hari ini bukan sekadar angka di atas kertas.

“Ia adalah simbol kepada malam-malam yang dihabiskan untuk mengulang kaji, ketabahan dalam menghadapi subjek yang sukar, dan kecekalan hati untuk terus melangkah walau dalam keletihan.

“Anda telah membuktikan bahawa di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan diri anda sendiri, malah turut mengharumkan nama keluarga dan komuniti kita,” katanya.

Sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan pelajar, belia pihaknya turut menyampaikan insentif sebanyak RM500 kepada pelajar dari kawasan Parlimen Tanjong Manis yang memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM.

“Sebagai tanda penghargaan dan galakan untuk masa hadapan, pihak kami dengan berbesar hati ingin menyampaikan sedikit insentif kecemerlangan sebanyak RM500.

“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu serba sedikit dalam persiapan anda melangkah ke menara gading atau fasa pembelajaran yang seterusnya.

“Ingatlah, insentif ini adalah pelaburan kami terhadap potensi besar yang ada dalam diri anda,” katanya lagi.

Tambahnya, pelajar yang tidak memperoleh keputusan 5A dan ke atas juga tidak dipinggirkan kerana bantuan kewangan tetap akan diberikan sekiranya mereka berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Kepada yang tidak berjaya mendapat 5A dan ke atas, kita tidak melupakan mereka begitu sahaja.

“Sekiranya mereka berjaya masuk pusat pengajian tinggi, kita juga akan memberikan bantuan kewangan mengikut surat tawaran kursus yang ditawarkan oleh pusat pengajian tinggi.

“Sebagai contoh, sekiranya mereka ditawarkan sijil, diploma, ijazah, sarjana atau PhD selepas SPM, juga akan kita berikan sumbangan berupa bantuan kewangan mengikut surat tawaran,” katanya.

Beliau berkata, bantuan yang disediakan melibatkan kadar RM150 bagi peringkat sijil, diploma (RM300), ijazah (RM400), sarjana (RM500) dan PhD sebanyak RM600, manakala kursus jangka pendek atau separuh masa tidak termasuk dalam bantuan tersebut.

Katanya, inisiatif tersebut bertujuan membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menghantar anak-anak melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak kini menyediakan pelbagai insentif pendidikan kepada pelajar Sarawak bermula daripada peringkat prasekolah sehingga universiti.

“Mulai 2026, pelajar Sarawak yang layak boleh menikmati pendidikan tinggi percuma di beberapa institusi milik kerajaan Sarawak termasuk Universiti Teknologi Sarawak (UTS), dan Kolej Universiti i-CATS, Universiti Curtin (Miri) dan Universiti Swinburne.

“Selain itu, menerusi Yayasan Sarawak, pelajar institusi pengajian tinggi anak Sarawak juga boleh memohon bantuan kewangan sebanyak RM1,200 setahun, baucar buku, bantuan komputer riba percuma serta subsidi pembayaran balik PTPTN,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan Sarawak turut menyediakan subsidi tiket penerbangan menerusi Program i-GPS bagi membantu pelajar Sarawak yang melanjutkan pengajian di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.

“Namun, harus diingat bahawa SPM hanyalah satu permulaan. Perjalanan anda masih jauh dan penuh dengan peluang.

“Gunakanlah momentum kejayaan cemerlang ini sebagai pembakar semangat untuk terus terbang lebih tinggi. Teruskan berbakti kepada ibu bapa dan jangan sesekali melupakan akar umbi anda,” katanya.

Yusuf mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik sempena sambutan Hari Guru yang bertemakan “Guru Bitara Nadi Negara”

Oleh Earl Anek

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Pengorbanan guru bentuk masa depan generasi, kata Lee
Next: Pesanan guru tentang MA63 jadi pegangan hidup Lo Khere Chiang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.