
SARIKEI: Generasi pelajar masa kini perlu menjadi individu yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki akhlak, adab serta jati diri yang kukuh untuk mendepani dunia moden yang semakin mencabar.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei, Nur Fadzrine Yung berkata, perkembangan teknologi serta perubahan dunia masa kini menuntut pelajar menjadi generasi yang bijak menggunakan ilmu dan teknologi ke arah kebaikan.
Katanya, antara cabaran terbesar yang dihadapi guru pada masa kini ialah menangani kepelbagaian latar belakang, tahap penguasaan serta motivasi murid dalam satu kelas yang sama.
“Ada murid yang cepat memahami, ada yang memerlukan bimbingan berulang kali dan ada juga yang berhadapan dengan masalah keluarga, emosi ataupun kurang keyakinan sehingga menjejaskan pembelajaran mereka.
“Selain itu, cabaran lain ialah memastikan murid terus berminat dan fokus dalam era digital yang penuh dengan gangguan.
“Jadi, guru bukan sahaja berperanan menyampaikan pelajaran, tetapi juga perlu kreatif dalam menggunakan pelbagai pendekatan supaya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) menjadi lebih bermakna serta menyeronokkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak selepas Majlis Penyampaian Sijil dan Insentif Penghargaan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Parlimen Tanjong Manis di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab, hari ini.

Tambah beliau, cabaran yang paling menyentuh hati bagi seorang guru ialah apabila melihat murid yang mempunyai potensi tetapi kurang yakin terhadap diri sendiri.
“Namun begitu, cabaran yang paling menyentuh hati ialah apabila melihat murid yang berpotensi tetapi kurang percaya pada diri sendiri.
“Proses membimbing mereka sehingga berjaya, walaupun mengambil masa dan dilakukan secara berperingkat, memerlukan kesabaran, konsistensi serta keikhlasan yang tinggi.
“Apabila mereka menunjukkan perubahan atau mencapai kejayaan, di situlah seorang guru merasai kepuasan sebenar,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai sambutan Hari Guru tahun ini yang bertemakan “Guru Bitara, Nadi Negara”, beliau berharap para pelajar dapat membesar sebagai insan yang bukan sahaja berjaya dalam pelajaran, tetapi turut memiliki sahsiah dan integriti yang baik.
“Dalam dunia yang semakin mencabar serta dipenuhi perkembangan teknologi yang tidak dapat dielakkan, pelajar diharap mampu menjadi generasi yang berfikiran kritis, kreatif dan bijak menggunakan ilmu serta teknologi ke arah kebaikan.
“Selain itu, nilai hormat kepada guru, ibu bapa dan masyarakat perlu terus dipelihara kerana kemajuan sesebuah negara bukan hanya bergantung kepada kecerdikan, tetapi juga kepada akhlak dan integriti generasi muda.
“Guru sentiasa berharap agar setiap pelajar berani bercita-cita tinggi, mempunyai semangat untuk terus belajar serta mampu menjadi pemimpin yang membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.
Nur Fadzrine turut berharap semua pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sebelum kembali menyumbang kepada masyarakat dan negara.
Oleh Earl Anek