Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • ‘Ajar Aku’ oleh Aizat Amdan, SOG bawa mesej kerohanian
  • HIBURAN

‘Ajar Aku’ oleh Aizat Amdan, SOG bawa mesej kerohanian

Utusan Sarawak 12 hours ago
‘AJAR AKU‘ oleh Aizat Amdan, SOG bawa mesej kerohanian. Foto Bernama.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer popular Aizat Amdan kembali memeriahkan industri muzik tempatan menerusi pelancaran single terbaharu berjudul ‘Ajar Aku’, hasil kerjasama dengan kumpulan post-hardcore Sekumpulan Orang Gila (SOG).

Bukan setakat menggabungkan dua identiti muzik berbeza, karya itu juga membawa mesej kerohanian yang mendalam tentang keberanian manusia mengetepikan ego demi menerima bimbingan ilmu serta kasih sayang dalam kehidupan.

‘AJAR AKU‘ oleh Aizat Amdan, SOG bawa mesej kerohanian. Foto Bernama.

Aizat menyifatkan ‘Ajar Aku’ sebagai antara naskhah paling peribadi pernah dihasilkannya kerana lahir daripada gabungan emosi, pengalaman dan pemerhatian sepanjang perjalanan hidup serta kerjayanya sebagai anak seni.

Katanya lagu itu tercipta secara spontan ketika sesi rakaman ‘Dari Studio Podcast’, iaitu program audio siar kendaliannya yang mengetengahkan proses menghasilkan lagu secara langsung bersama-sama dengan tetamu, dan SOG tampil sebagai undangan ketika itu.

“Walaupun tidak merujuk satu pengalaman spesifik, lagu ini tentang manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu untuk meminta tunjuk ajar. Kadang-kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” katanya selepas pelancaran single berkenaan, baru-baru ini. 

‘AJAR AKU‘ oleh Aizat Amdan, SOG bawa mesej kerohanian. Foto Bernama.

Pelantun lagu ‘Sungai Lui’ itu turut mengakui proses menyiapkan ‘Ajar Aku’ cukup menyentuh emosinya sehingga beliau berdepan kebimbangan bagi memastikan setiap baris lirik yang ditulis benar-benar jujur dan sampai kepada pendengar.

Sementara itu, vokalis dan pemain gitar SOG, Raja Nazrin Shah berkata, kolaborasi tersebut memberi ruang kepada mereka untuk bereksperimen dengan pendekatan muzik yang lebih bebas dan organik tanpa terikat pada formula pop komersial yang lazim.

Katanya, perbezaan latar belakang genre antara SOG dan Aizat menjadi kekuatan utama dalam menghasilkan warna bunyi yang segar serta berani dengan memberi keutamaan kepada perjalanan emosi dan penceritaan.

“Pendekatan itu membolehkan setiap elemen muzik berkembang secara semula jadi tanpa perlu mengejar formula tertentu semata-mata untuk kedengaran mesra radio. Kami sengaja membiarkan kreativiti mengalir tanpa sekatan bagi memberi ruang kepada setiap instrumen untuk ‘bernafas’, kebebasan kreatif itulah yang menjadi titik pertemuan seni antara kami.

“Walaupun datang daripada latar belakang genre berbeza, proses rakaman berjalan lancar kerana kami berkongsi matlamat yang sama, iaitu mahu menghasilkan karya yang jujur dan mempunyai jiwa tersendiri,” katanya.

Menambah keistimewaan naskhah berkenaan ialah kemunculan penyanyi bertaraf antarabangsa, Yuna di penghujung lagu yang disifatkan sebagai pelengkap emosi pada naratif keseluruhan karya itu. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Melangkaui Oscar: Travolta terima anugerah kejutan di Cannes
Next: OAG gegar Padang Merdeka malam ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.