Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Melangkaui Oscar: Travolta terima anugerah kejutan di Cannes
  • HIBURAN

Melangkaui Oscar: Travolta terima anugerah kejutan di Cannes

Utusan Sarawak 15 hours ago
PENGARAH, penulis skrip dan penulis Amerika Syarikat, John Travolta menerima anugerah Palme d’Or pencapaian seumur hidup sebelum tayangan filem Propeller One-Way Night Coach pada edisi ke-79 Festival Filem Cannes di Cannes, selatan Perancis pada 15 Mei 2026. Foto AFP

CANNES, Perancis: Bintang Hollywood, John Travolta menerima anugerah pencapaian seumur hidup secara mengejut di Festival Filem Cannes semalam ketika beliau menayangkan filem pertama arahannya.

Pelakon yang menjadi ikon menerusi Saturday Night Fever itu kelihatan sebak ketika menerima anugerah Palme d’Or kehormat sebelum tayangan Propeller One-Way Night Coach, yang diadaptasi daripada buku mengenai pengalaman pertamanya menaiki pesawat penumpang.

“Saya benar-benar tidak percaya. Ini melangkaui Oscar,” katanya ketika menerima penghormatan tersebut.

Festival berprestij itu tahun ini terus meraikan legenda Hollywood walaupun studio besar kurang menyertainya, termasuk penganugerahan Palme kehormat kepada Barbra Streisand dan Peter Jackson, selain tayangan gala untuk Vin Diesel dan barisan pelakon francais The Fast and the Furioussempena ulang tahun ke-25 siri itu.

JOHN Travolta bersama anak perempuannya, pelakon Ella Bleu Travolta tiba untuk tayangan filem Propeller One-Way Night Coach pada edisi ke-79 Festival Filem Cannes di Cannes, selatan Perancis pada 15 Mei 2026. Foto AFP

Travolta, yang tidak pernah memenangi Oscar, menghidupkan semula kariernya menerusi watak pembunuh upahan Vincent Vega dalam Pulp Fiction arahan Quentin Tarantino yang memenangi Palme d’Or pada 1994.

Ramai pengkritik menganggap lakonan itu sebagai persembahan terbaik dalam kariernya dan kini dianggap karya ikonik dalam sejarah perfileman.

“Filem kegemaran saya sepanjang hidup sentiasa terdiri daripada pemenang Palme d’Or,” kata Travolta.

Di Belakang Kamera

Pihak Cannes merahsiakan anugerah itu sehingga pelakon berusia 72 tahun tersebut muncul di pentas tayangan perdana dengan sut hitam dan beret putih.

Travolta berkata beliau amat terkejut apabila filem sulung arahannya, yang menampilkan anak perempuannya Ella Bleu sebagai pramugari, diterima oleh festival filem paling berprestij di dunia itu.

Menurutnya, apabila pengarah Cannes, Thierry Fremaux memaklumkan pada November lalu bahawa filem tersebut diterima lebih awal daripada biasa, beliau menangis kegembiraan.

“Saya langsung tidak menjangka filem saya akan diterima,” katanya.

Propeller One-Way Night Coach ialah filem autobiografi berdurasi satu jam yang dibiayai sendiri Travolta mengenai penerbangannya ketika berusia lapan tahun bersama ibunya dari New York ke Los Angeles pada 1962.

“Inilah pelan hidup saya,” kata pelakon yang terkenal sebagai peminat pesawat itu dan turut menjadi narator filem berkenaan.

JOHN Travolta menandatangani autograf ketika tiba untuk tayangan filem Propeller One-Way Night Coach. Foto AFP

“Apa yang anda lihat dalam filem ini adalah sepenuhnya daripada perspektif saya terhadap apa yang saya saksikan dilalui orang lain.

“Semua yang berada dalam filem ini kini berada di dalam dewan ini, keluarga saya,” tambahnya.

Travolta mula meminati dunia lakonan sejak kecil.

Dilahirkan di New Jersey daripada ibu berketurunan Ireland dan bapa berketurunan Itali-Amerika yang mengusahakan kedai tayar, beliau meninggalkan sekolah pada usia 16 tahun untuk mencuba bidang lakonan dan tarian.

Dua tahun kemudian, beliau memperoleh watak besar pertamanya dalam muzikal Broadway Grease.

Beliau dicalonkan untuk Oscar pada 1978 menerusi watak Tony Manero dalam Saturday Night Fever sebelum melonjak ke puncak populariti Hollywood menerusi versi filem Grease pada tahun sama.

Travolta turut memaklumkan bahawa hak penerbitan Propeller One-Way Night Coach telah dibeli oleh Apple.

Ketika ditanya sama ada beliau akan kembali mengarah, Travolta berkata pengalaman bekerja dengan pelbagai pengarah sepanjang kerjayanya memberi keyakinan untuk terus berkarya.

“Saya percaya saya mampu mengendalikan semua itu dan apa sahaja yang mahu saya lakukan selepas ini, tetapi saya perlu benar-benar mempunyai minat mendalam terhadap sesuatu karya untuk mengulangi pengalaman seperti ini,” katanya. – AFP

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: U2 kejutkan peminat di Mexico City ketika penggambaran video muzik
Next: ‘Ajar Aku’ oleh Aizat Amdan, SOG bawa mesej kerohanian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.