
PETRA JAYA: Isu jalan raya, bekalan air dan kemudahan kesihatan antara yang dibangkitkan pada perbahasan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dato Paulus Palu Gumbang (GPS-Batu Danau) meminta jajaran Jalan Nanga Medamit/Kampung Pulau Brunei khususnya di kawasan Sungai Awang hingga persimpangan Jalan Kampung Kuala Medalam dibina pada paras lebih tinggi bagi memastikan laluan itu tidak terjejas ketika banjir.

“Jalan tersebut bakal menjadi sebahagian daripada Projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) Fasa 2, justeru aspek banjir perlu diberi perhatian supaya laluan sentiasa boleh dilalui.
“Saya juga memohon beberapa jalan perhubungan desa dinaik taraf termasuk Jalan Bawang Ubor/Kampung Tanjung Ungar, Jalan Kampung Bambangan/Braong, simpang Jalan Kampung Tubai Baru, simpang Jalan Kampung Ukong dan simpang Jalan Sungai Lumbong,” katanya.
Dalam sektor kesihatan, beliau berharap pembinaan Klinik Long Napir dapat disiapkan seperti dirancang selain memohon bangunan baharu bagi Klinik Nanga Merit, Klinik Nanga Medamit dan Klinik Penganan yang kini uzur.
Paulus turut meminta penambahan doktor pakar di Hospital Limbang supaya pesakit tidak perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital luar kawasan.

Sementara itu, Datuk Mong Dagang (GPS-Bukit Begunan) berkata beberapa kawasan di Bukit Begunan masih belum menikmati bekalan air terawat dan masih bergantung kepada sistem graviti.
Beliau berkata kawasan seperti Selepong, Gua, Ran, Punggu, Jalan Lachau/Kara/Sungai Besai, Sebemban, Jalan Bukit Balau serta Kampung Bakong dan Stirau Air sering berdepan masalah kekurangan air ketika musim kemarau.
Beliau turut mencadangkan peruntukan disediakan untuk membaiki paip lama sistem graviti sementara menunggu projek grid air siap sepenuhnya.
Selain itu, Mong turut memohon jalan menuju beberapa rumah panjang dan kampung di kawasan Lachau serta Stutong dinaik taraf kerana keadaan jalan semakin rosak.
Dalam sektor kesihatan, beliau membangkitkan keadaan Klinik Kesihatan Tanjong Bijat yang sudah berusia lebih 40 tahun dan kini berdepan masalah bangunan uzur, pagar rosak, parkir terhad serta gangguan bekalan air.
“Klinik yang memberi perkhidmatan kepada 67 rumah panjang dan kampung sekitar Gran, Stumbin dan Lingga itu juga masih belum mempunyai ambulans untuk kegunaan kecemasan,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah