SIBU: Bekas pramugara tidak menduga pandemik Covid-19 yang berpanjangan membuka pintu hatinya untuk menceburi bidang pertanian yang masih kurang popular dalam kalangan belia seusianya.
Sejurus selepas diberhentikan kerja, Mohamad Adzlan Shah Mohamad Arbi,35, nekad untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian demi kelangsungan hidup.
“Pada awalnya selepas diberhentikan kerja memang membuat saya merasa ‘down’.
“Bagaimanapun, saya perlu melakukan sesuatu untuk meneruskan kehidupan diri sendiri dan keluarga yang perlu ditanggung,” katanya.
Bapa kepada tiga cahayamata yang mengusahakan tanaman cili fertigasi ini berkata, walaupun terpaksa berpanas dan berhujan, ia bukanlah menjadi penghalang baginya untuk terus berbakti kepada tanah.
“Panas mahupun hujan bukanlah halangan bagi saya, malah ia menjadikan saya semakin bersemangat untuk terus berbakti kepada tanah memandangkan ia merupakan lubuk rezeki baharu bagi saya.
“Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi kerana semua ini demi kelangsungan hidup saya dan keluarga.
“Saya pasti dan kerap berdoa supaya terus berjaya dalam bidang pertanian,” ujarnya.
Bagi menambah ilmu pengetahuannya dalam bidang ini, Adzlan mengikuti Latihan dan Inkubator Pertanian Moden Fertigasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.
Program ini merupakan inisiatif dari wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dr Annuar Rapa’ee dengan kerjasama Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah.
Berbekalkan modal yang diperoleh dari pampasan diberhentikan perkhidmatan, Adzlan mula mengatur kelengkapan projek cili fertigasi ini.
Setakat ini, terdapat kira-kira 500 polibeg yang mengandungi 1000 anak pokok yang diusahakan Adzlan.
Setiap polibeg diisikan dengan dua anak pokok cili dan dibiarkan membesar.
Sepanjang proses tersebut, Adzlan melakukan kerja membaja dan meracun bagi memastikan tanaman fertigasi diusahakan sentiasa berada dalam keadaan baik serta subur.
“Setiap hari seawal jam 8 pagi, saya akan ke kebun untuk melihat dan memeriksa pokok cili.
“Rutin pada fasa pertama agak memakan masa kerana anak pokok masih kecil dan perlu dijaga dengan rapi.
“Bagi fasa kedua iaitu apabila keadaan pokok sudah stabil, saya cuma perlu memantau keadaan pokok bagi mengelak serangan serangga perosak.
“Proses menyembur racun dan juga mol ( vitamin) akan dibuat seminggu skali,” jelasnya.
Sehubungan itu, Adzlan berharap bidang pertanian yang baharu diceburi dapat memberi satu makna kehidupan baru buatnya, selain menambah pendapatannya.
“Saya percaya, apa sahaja yang kita ceburi jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh, pasti akan membawa kita kepada kejayaan yang diimpikan,” katanya.
Oleh NURZILLA MOHAMAD