

PETRA JAYA: Kerajaan meluluskan cadangan pembinaan Balai Polis Lachau di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah Sri Aman dengan kos keseluruhan RM40.7 juta, sebagai usaha memperkukuh jaringan keselamatan di kawasan luar bandar dan sempadan.
Projek berkenaan dilaksanakan di bawah Projek Sempadan (Sabah dan Sarawak), Kementerian Dalam Negeri menerusi Pelan Pelaksanaan Kelima, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam mempertingkat kehadiran pasukan keselamatan di kawasan strategik.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembinaan balai tersebut akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat khususnya dari aspek tindak balas keselamatan yang lebih pantas serta pengukuhan kawalan kawasan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Mong Dagang (GPS-Bukit Begunan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Menurut beliau, tapak cadangan projek itu terletak di Lot 1252, Blok 12, Daerah Tanah Selanjan dengan keluasan 3.2 hektar di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, yang turut menempatkan bangunan pentadbiran dan kuarters kediaman.
Tambahnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah dilantik sebagai agensi pelaksana bagi melaksanakan projek tersebut.
Oleh Norman B