Arne Slot yakin beliau masih akan kekal sebagai pengurus Liverpool bagi menghadapi musim depan meskipun pasukan berdepan kempen yang mengecewakan. Foto AFP
LIVERPOOL: Arne Slot menepis spekulasi mengenai masa depannya sebagai pengurus Liverpool meskipun pasukan itu melalui kempen yang mengecewakan, sambil menegaskan beliau sudah terlibat dalam perancangan bagi musim depan.
Liverpool kini berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris, ketinggalan 20 mata di belakang pendahulu Arsenal, hanya setahun selepas menjuarai liga pada musim pertama Slot mengendalikan pasukan itu.
The Reds membelanjakan rekod £450 juta (AS$609 juta) untuk membawa masuk pemain baharu musim panas lalu, namun pelaburan itu setakat ini belum memberikan pulangan yang diharapkan.
Slot turut berdepan cabaran besar apabila beberapa tonggak utama dihimpit kecederaan sepanjang musim, selain pasukan masih terkesan dengan pemergian Diogo Jota yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Julai lalu.
“Saya tidak fikir keputusan itu ditentukan oleh saya seorang, tetapi saya mempunyai semua alasan untuk percaya bahawa saya masih akan menjadi pengurus Liverpool musim depan,” katanya pada sidang media menjelang aksi menentang Aston Villa awal pagi Sabtu ini.
“Pertama sekali, saya masih mempunyai kontrak bersama kelab dan kedua, berdasarkan semua perbincangan yang sedang berlangsung. Itu pandangan saya.”
Kedudukan lima terbaik liga akan menjamin tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dan Liverpool kini memiliki kelebihan empat mata berbanding Bournemouth di tangga keenam dengan hanya dua perlawanan berbaki.
Namun, rasa tidak puas hati penyokong di Anfield terhadap Slot semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sorakan boo kedengaran selepas keputusan seri 1-1 menentang Chelsea minggu lalu, termasuk kritikan terhadap keputusannya mengeluarkan Rio Ngumoha dalam perlawanan itu.
“Saya rasa dunia bola sepak sekarang sudah berubah. Jika pengurus atau kelab tidak melalui musim terbaik, pasti akan ada perdebatan. Ia berlaku di seluruh dunia, bukan hanya di Liverpool. Itu realiti baharu bola sepak,” tambahnya.
“Bukan tugas saya untuk menilai orang yang menilai saya. Mereka berhak mempunyai pandangan sendiri.”
Slot sebelum ini berjanji akan membentuk “pasukan yang berbeza musim depan” sekiranya jendela perpindahan berjalan seperti dirancang.
Bekas pengendali Feyenoord itu turut mengesahkan beliau memainkan peranan penting dalam perancangan perpindahan pemain dan persiapan musim depan.
“Kami sudah tahu ke mana pasukan akan mengadakan jelajah pramusim. Perancangan telah dibuat dan perbincangan mengenai pemain baharu sedang berjalan, dan saya terlibat dalam semua itu,” katanya lagi.
Bekas pemain kesayangan Liverpool, Xabi Alonso, sebelum ini dikaitkan sebagai calon pengganti Slot.
Namun, laporan minggu ini menyebut bekas jurulatih Bayer Leverkusen dan Real Madrid itu semakin hampir untuk mengambil alih Chelsea musim depan.
Slot turut mengesahkan Mohamed Salah cergas untuk diturunkan secara terhad menentang Aston Villa.
Terdapat kebimbangan sebelum ini bahawa pemain Mesir itu mungkin sudah memainkan perlawanan terakhirnya bersama Liverpool selepas mengalami kecederaan hamstring bulan lalu.
Salah dijadual meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini selepas sembilan tahun gemilang bersama kelab berkenaan. — AFP