
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memperuntukkan sebanyak RM7.2 juta bagi Program ProWira Ready To Work Graduate untuk memberi peluang kepada 300 graduan dalam kalangan anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalani latihan pekerjaan bersama syarikat terpilih.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata program berkenaan dilaksanakan menerusi Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai usaha memperkukuh agenda kesejahteraan anggota tentera dan keluarga mereka melalui aspek pendidikan serta peluang pekerjaan.
Beliau berkata program itu yang berlangsung selama 12 bulan di 23 syarikat terpilih yang terlibat akan memberi tumpuan kepada graduan terdiri daripada anak anggota ATM yang masih berkhidmat, veteran ATM serta warga Kementerian Pertahanan.
“Sepanjang tempoh itu para peserta akan menerima elaun sebanyak RM2,000 sebulan yang dibayar kerajaan melalui Yayasan LTAT.
“Kita berharap keberadaan mereka dalam syarikat itu benar-benar dapat memberi pengalaman dan membantu mereka berjaya di alam pekerjaan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program tersebut dan Inisiatif Pendidikan Yayasan LTAT 2026, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Ketua Eksekutif Yayasan LTAT Datuk Dr Nizar Sudin.
Sementara itu pada majlis sama program Kolaborasi Akauntansi Profesional turut dilancarkan dengan kerjasama Yayasan Peneraju yang memberi peluang kepada anak-anak warga ATM mengikuti pengajian profesional dengan struktur pembiayaan strategik.
Mohamed Khaled berkata program berkenaan merupakan komitmen berterusan kementerian itu dalam memperluaskan manfaat pendidikan dan peluang kerjaya menerusi kerjasama strategik.
“Menerusi program berkenaan 90 peratus pembiayaan ditanggung oleh Yayasan Peneraju manakala 10 peratus pembiayaan ditanggung oleh Yayasan LTAT,” katanya.
Pada majlis itu Mohamed Khaled turut menyampaikan cek sumbangan bernilai RM222,814.40 kepada enam pengetua Sekolah Dalam Kem menerusi Program Sentuhan Elit SPM 2025 dan cek sumbangan berjumlah RM376,488 daripada Yayasan LTAT kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi pelaksanaan Program e-Perkasa 2026.
Selain itu, beliau turut menyaksikan Pertukaran Perjanjian Persefahaman Program Pensijilan Profesional Perakaunan (ACCA) antara Yayasan Peneraju dengan Yayasan LTAT.
Turut berlangsung pada majlis itu ialah penyerahan cek sumbangan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada Yayasan LTAT dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.0 juta daripada entiti korporat sebagai lambang sokongan dalam memperkukuh kelestarian ekosistem generasi pertahanan negara.
Antara penyumbang ialah Affin Bank Bhd, BH Petrol, Perwira Niaga Malaysia, Boustead Holdings Bhd dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).- Bernama