
CANNES, Perancis: Pengarah terkenal The Lord of the Rings, Peter Jackson, mendedahkan bahawa beliau kini sedang mengusahakan satu lagi karya klasik kultus, Tintin.
Pengarah dari New Zealand itu berkata beliau sedang menyiapkan skrip filem mengenai wartawan muda ciptaan kartunis Belgium, Herge, hampir satu abad lalu.
Jackson berkata filem arahannya itu akan menjadi sekuel kepada filem animasi The Adventures of Tintin terbitan Steven Spielberg pada 2011, yang turut diterbitkannya bersama.
“Perjanjiannya ialah Steven mengarah satu filem dan saya mengarah satu lagi,” katanya pada Festival Filem Cannes, lokasi beliau menerima anugerah penghormatan Palme d’Or bagi pencapaian seumur hidup pada Selasa.
“Jadi Steven sudah menghasilkan filemnya, dan selama 15 tahun saya masih belum menghasilkan filem saya. Saya berasa agak janggal mengenainya,” katanya. Namun, beliau tidak membuang masa sepanjang berada di Cannes.
Di celah-celah acara gala dan penerimaan anugerah, beliau berkata: “Saya bekerja bersama Fran (Walsh, pasangannya) untuk satu lagi skrip Tintin.
“Saya berada di bilik hotel di seberang jalan menulis skrip dan menghantar halaman-halaman itu ke New Zealand,” katanya kepada AFP.

Walaupun enggan mendedahkan album Tintin yang dijadikan asas filem tersebut, Jackson memberi bayangan kuat bahawa kisah itu akan bermula di penghujung filem Spielberg, iaitu dengan Red Rackham’s Treasure.
“Ia bukan kesinambungan secara langsung, tetapi ia bermula tepat di penghujung filem terakhir,” katanya kepada AFP.
Pemberontak Tua dan Gemuk
Jackson berkata beliau menghasilkan “filem yang benar-benar mahu ditontonnya sendiri”, dan filem Tintin itu tidak terkecuali.
“Apabila draf siap, kami akan menghantarnya kepada Steven (Spielberg)… dan mungkin beliau akan berkata beliau tidak menyukainya, atau mungkin kami perlu menggunakan buku lain. Tetapi saya rasa beliau tidak akan berkata begitu.”
Jackson, yang mengadaptasi trilogi karya JRR Tolkien menjadi antara francais pecah panggung terbesar dunia, berkata beliau amat meminati Tintin, yang terkenal dengan pengembaraan dalam komik seperti Tintin in Tibet dan The Blue Lotus, yang menjadi bahan bacaan kanak-kanak Eropah sejak 1930-an.

Jackson, pemilik Weta FX — antara syarikat kesan khas paling penting di dunia yang terlibat dalam filem Avatar dan trilogi The Lord of the Rings — turut mengulas perdebatan mengenai kecerdasan buatan (AI) yang hangat diperkatakan di Cannes.
Beliau berkata, walaupun berpendapat AI “akan memusnahkan dunia”, dari sudut penggunaannya dalam filem, beliau “tidak membencinya sama sekali.”
“Bagi saya, ia hanyalah satu kesan khas. Ia tidak berbeza daripada kesan khas lain,” katanya.
Walaupun kemudian memperlahankan kenyataannya “tentang robot mengambil alih dunia,”beliau berkata AI mungkin tidak akan berkembang jauh melebihi dunia video pendek di Instagram dan YouTube.
“Untuk menghasilkan filem cereka, semua hak perlu diluluskan dan peguam perlu meneliti setiap perkara dengan sangat teliti,” katanya sambil menambah bahawa perkara itu akan mengehadkan penggunaan AI.
Jackson, 64, berkata beliau masih melihat dirinya sebagai pemberontak yang pernah dihalau keluar dari Palais des Festivals di Cannes kerana memakai seluar pendek ketika tayangan perdana filem sulungnya, Bad Taste pada 1987, namun kini menjadi “pemberontak tua dan gemuk.”
Beliau turut berkata masih berharap untuk menghasilkan filem yang diinspirasikan daripada serangan Dambusters Britain ke atas empangan Ruhr di Jerman semasa Perang Dunia Kedua, “jika saya hidup cukup lama.” – AFP