BINTULU: Masyarakat pastinya sudah terbiasa menjalani kehidupan dan lebih memahami amalan norma baharu bagi mencegah penularan wabak Covid-19 berbanding sebelum ini.
Maka, tidak hairanlah jika penduduk kini kurang berasa bimbang untuk keluar dan melakukan aktiviti seperti biasa meskipun rantaian wabak itu belum berjaya diputuskan.
Hasil tinjauan Utusan Sarawak di sekitar bandar di sini semalam mendapati rata-rata penduduk yang berada di tempat awam mematuhi langkah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang telah ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan sosial dan pensanitasi tangan.
Seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Nina berkata, kehidupan tetap perlu diteruskan walaupun apapun yang terjadi.
“Bagi yang mencari rezeki atau menguruskan keluarga, ia agak sukar bagi kami untuk mengehadkan pergerakan.
“Jadi, apa yang kita boleh sumbangkan dalam perjuangan ini adalah dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan agar kes tidak meningkat,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penguatkuasa yang ditemui di Pasar Malam Bintulu berkata, kebanyakan penduduk yang datang memang mematuhi SOP sebelum masuk ke dalam kawasan atau tapak berniaga.
“Mereka sendiri tahu apa yang perlu dilakukan malahan sudah macam menjadi rutin biasa apabila mereka membuka MySejahtera untuk imbasan kod dan periksa suhu setiap kali masuk tanpa perlu diminta.
“Setakat ini, kalau dilihat, kebanyakan penduduk mematuhi SOP dan tidak menyangkal tindakan yang diambil.
“Kalau ada pun, mungkin ada segelintir yang kami terlepas pandang atau tidak nampak depan mata,” jelasnya yang memberitahu bahawa mereka bergilir-gilir memantau keadaan dari 3.00 petang hingga 10.00 malam di kawasan terbabit.
Difahamkan, pada Sabtu lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di semua bahagian di negeri kecuali Sibu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).