



KUNDASANG: Keberangkatan tiba Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama rombongan di Pekan Kundasang, Ranau pada Isnin lalu menjadi detik istimewa buat penduduk setempat.
Maslina Mansun, 60, berkata beliau amat teruja kerana berpeluang bertemu buat pertama kali dengan Tengku Hassanal yang mencemar duli ke daerah berkenaan.
“Saya sebagai wakil penduduk Kundasang terutama sekali peniaga di gerai sayur ini memang terlalu gembira sebab dikunjungi oleh Tengku Hassanal,” katanya kepada Bernama.

Maslina yang mengusahakan gerai sayuran hampir 40 tahun turut mengimbau kenangan bertemu ayahanda Tengku Hassanal, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika Kembara Kenali Borneo pada September 2023 yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong.
Mengimbas detik itu, Maslina berkata beliau sanggup menutup gerainya lewat sehingga 9.00 malam semata-mata menanti ketibaan rombongan keluarga diraja yang memulakan program berkenaan di Tawau sebelum singgah di Pekan Kundasang.

Tengku Hassanal berangkat tiba di Sabah pada Isnin lalu bagi mengetuai Ekspedisi Mahkota Borneo selama tiga hari dan memulakan pendakian menuju ke puncak Gunung Kinabalu dari Pondok Timpohon pada 8.05 pagi semalam sebelum berjaya menawan Puncak Gunung Kinabalu pada 8.45 pagi hari ini.
Berkongsi keterujaan sama, Sutini Muhailin, 58, berkata keberangkatan Tengku Hassanal ke kawasan pelancongan itu serta kesudian baginda bertemu penduduk setempat memperlihatkan keperibadian baginda yang dekat dan mesra dengan rakyat.
Nenek kepada lapan cucu itu berkata mereka hanya dimaklumkan mengenai keberangkatan Tengku Hassanal ke Pekan Kundasang dalam tempoh yang singkat, namun kerjasama peniaga sayuran di kawasan itu membolehkan sambutan ringkas tetapi meriah diadakan.

Katanya, sambutan itu turut diserikan dengan paluan gong, iaitu antara elemen seni budaya masyarakat Dusun di Ranau, dengan peralatan muzik disediakan oleh Persatuan Pemborong dan Peruncit Sayur Bumiputera Kundasang.
Beliau turut berharap Tengku Hassanal akan berangkat semula ke Pekan Kundasang pada masa akan datang.
Bagi Attasha Mohd Subki, 21, keberangkatan Tengku Hassanal ke Pekan Kundasang diharap dapat memberi limpahan positif kepada sektor pelancongan, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
“Pertama kali Baginda datang sini (Kundasang), diharap akan dapat meningkatkan dan lebih ramai pelancong datang Kundasang selepas berlakunya gempa bumi sebelum ini,” kata pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej Vokasional Keningau itu.
Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam berkata kedatangan Tengku Hassanal itu secara tidak langsung akan dapat mempromosikan kawasan Kundasang dan Taman Kinabalu serta daerah tersebut khususnya.
Beliau berkata Kundasang adalah kawasan tarikan pelancongan utama di Ranau sekali gus membantu menarik dana pembangunan ke daerah tersebut.
“Kita berharap dengan kedatangan Baginda akan dapat menambahkan lagi daya tarikan Ranau dan pada masa sama pemimpin dan selebriti juga diharapkan dapat menyokong pihak pembuat dasar untuk menaik taraf kawasan pelancongan ini,” katanya.- Bernama