
PETRA JAYA: Projek bekalan elektrik Kapit-Baleh dengan kos anggaran RM62 juta kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada suku kedua 2027.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Ibrahim Baki berkata, projek berkenaan merupakan usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh bekalan elektrik di kawasan pedalaman.

“Selepas projek pembinaan talian 33kV Konduktor Bersalut Voltan Sederhana (MVCC) siap, kerajaan melalui kementeriannya bersama Sarawak Energy sedang meneliti kebolehlaksanaan penyambungan grid elektrik ke rumah-rumah panjang di sekitar kawasan Baleh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nicholas Kudi Jantai (GPS–Baleh) pada persidangan DUN ke-19 di Kompleks DUN, hari ini.
Bagi kawasan Tunoh pula, beliau memaklumkan bahawa projek pembinaan MVCC serta pencawang 33/11kV telah dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan dan kelulusan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Oleh Adele Rissa