Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Peralihan kepimpinan dari Putrajaya ke negeri
  • KOLUMNIS

Peralihan kepimpinan dari Putrajaya ke negeri

Utusan Sarawak 5 hours ago

PENGUMUMAN Dato Sri Alexander Nanta Linggi bahawa beliau tidak begitu berminat mempertahankan kerusi Parlimen Kapit pada PRU16 sangat menarik untuk diberikan interpretasi politik. 

Aspek peralihan peranan kepimpinan jarang berlaku secara dramatik, terbuka atau konfrontasi. Sebaliknya lebih lazim bergerak melalui konsensus, isyarat halus, persetujuan dalaman dan penggiliran berhemah.

Maka, kenyataan Nanta sebenarnya lebih tepat ditafsirkan sebagai permulaan fasa peralihan tersusun,iaitu daripada kepimpinan Persekutuan yang lama berakar di Parlimen Kapit kepada kemungkinan peranan baharu di peringkat negeri Sarawak.

Nanta bukan tokoh kecil dalam politik Sarawak. Beliau telah mewakili Kapit di Parlimen sejak 1999 dan kini merupakan Menteri Kerja Raya serta Setiausaha Agung PBB dan GPS.

Ini menjadikan beliau bukan sekadar wakil rakyat kawasan pedalaman, tetapi sebahagian daripada arkitektur utama politik Sarawak di peringkat Persekutuan dan negeri.

Oleh itu, apabila beliau membayangkan tidak mempertahankan Kapit selepas hampir tiga dekad berkhidmat di Parlimen, ia bukan sekadar keputusan peribadi seorang ahli politik veteran.

Ia adalah isyarat bahawa GPS sedang memasuki babak baharu dalam penyusunan kepimpinan Dayak dan strategi kuasa Sarawak menjelang PRU16.

Kerusi Kapit

Kapit pula bukan kerusi biasa. Ia merupakan simbol politik pedalaman Dayak, jaringan rumah panjang, pembangunan luar bandar, akses jalan raya, ekonomi sungai, empangan, tanah adat serta suara komuniti Iban dan Orang Ulu dalam politik nasional.

Dalam PRU15, Nanta menang selesa dengan majoriti 12,402 undi, sekali gus menunjukkan bahawa Kapit masih merupakan kubu kuat GPS.

Kekuatan ini memberikan ruang kepada GPS untuk melakukan transisi kepimpinan tanpa tekanan besar daripada pembangkang. Dengan kata lain, Kapit adalah kerusi yang cukup selamat untuk dijadikan makmal regenerasi politik, asalkan calon pengganti benar-benar diterima oleh akar umbi.

Di sinilah makna strategik pengumuman Nanta. Beliau tidak meninggalkan politik, sebaliknya kelihatan sedang menyusun semula kedudukan. Jika beliau kembali memberi tumpuan kepada politik negeri, ia boleh dianggap sebagai langkah yang sangat munasabah.

Sarawak hari ini sedang berada dalam fasa peluasan kuasa negeri, rundingan MA63, pengukuhan hasil, agenda tenaga, pembangunan infrastruktur, ekonomi hijau dan autonomi pentadbiran yang lebih besar.

Tokoh seperti Nanta, yang mempunyai pengalaman panjang di peringkat Persekutuan, boleh menjadi aset penting kepada kerajaan negeri. Pengalaman beliau sebagai menteri Persekutuan, khususnya dalam portfolio kerja raya, sangat relevan dengan agenda pembangunan Sarawak yang masih menuntut penyelesaian besar dalam aspek jalan raya, jambatan, hubungan pedalaman, logistik dan mobiliti rakyat luar bandar.

Putrajaya ke pentadbiran negeri

Maka, tafsiran bahawa Nanta mahu “kembali ke state” bukan sesuatu yang ganjil. Malah, ia mungkin sebahagian daripada strategi GPS untuk membawa pulang tokoh berpengalaman Persekutuan bagi memperkukuh pentadbiran negeri.

Dalam politik Sarawak, pusat sebenar kuasa bukan semata-mata di Putrajaya, tetapi juga di Petra Jaya.

Dengan kedudukan Sarawak yang semakin kuat dalam Persekutuan, peranan di negeri boleh menjadi lebih strategik daripada kedudukan Parlimen biasa.

Justeru, jika Nanta berpindah fokus ke negeri, ia bukan penurunan martabat politik, tetapi kemungkinan penyusunan semula peranan yang lebih dekat dengan pusat kuasa Sarawak.

Namun, peralihan ini hanya akan memberi kesan positif jika GPS berjaya menampilkan pengganti yang benar-benar meyakinkan. Nama Datuk Alvin Runggah Jimbun, yang pernah disebut oleh Nanta sendiri sebagai individu yang boleh mengambil alih tanggungjawab di Kapit, memperlihatkan bahawa proses pewarisan itu mungkin sudah dirancang lebih awal.

DATUK Alvin Runggah Jimbun (kiri) adalah anak didik Dato Sri Alexander Nanta Linggi, yang dijangka mengambilalih kerusi Parlimen Kapit.

Anak didik Nanta

Menurut laporan media, Nanta memberikan isyarat bahawa Alvin ialah individu yang beliau mahu amanahkan untuk mengambil alih kerusi Kapit jika beliau tidak lagi bertanding pada masa hadapan.

Ini penting kerana dalam politik pedalaman Sarawak, pengganti tidak boleh hanya datang dengan restu elit parti; beliau mesti diterima oleh jaringan rumah panjang, pemimpin masyarakat, akar umbi parti dan pengundi yang menilai hubungan peribadi sebagai ukuran kepercayaan politik.

Tiga syarat utama penting untuk dilalui ialah, mesti mempunyai kesinambungan akar tempatan yang kuat. Kapit bukan kawasan yang boleh dimenangi hanya dengan poster dan logo parti.

Ia memerlukan hubungan sosial yang hidup, kehadiran berterusan dan kefahaman mendalam terhadap adat, struktur komuniti serta kepentingan rumah panjang.

Kedua, beliau mesti mampu membawa isu pembangunan pedalaman ke Parlimen secara meyakinkan.

Kapit memerlukan wakil yang boleh bercakap tentang jalan raya, jambatan, internet, sekolah luar bandar, klinik, ekonomi komuniti, tanah NCR, peluang anak muda dan kos logistik pedalaman.

Ketiga, beliau mesti dilihat sebagai wajah baharu yang bukan sekadar menyambung legasi Nanta, tetapi membawa tahap keupayaan teknokratik yang sesuai dengan tuntutan Sarawak moden.

Kepimpinan pelapis

Isu lebih besar ialah sama ada pemimpin Dayak lain seperti Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom juga harus memberi laluan kepada generasi baharu.

Jawapannya tidak boleh terlalu mudah. Dalam politik, regenerasi tidak semestinya bermaksud semua pemimpin lama mesti berundur serentak.

ISU lebih besar ialah sama ada pemimpin Dayak lain seperti Datuk Amar Douglas Uggah Embas (kiri) dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom juga harus memberi laluan kepada generasi baharu.

Jika terlalu ramai tokoh veteran berundur dalam waktu yang sama, ia boleh mewujudkan kekosongan pengalaman, kehilangan jaringan tradisional dan ketidakseimbangan kuasa dalaman.

Tetapi jika tiada peralihan langsung, parti akan dilihat statik, tua dan tidak cukup menyediakan pelapis. Maka pendekatan terbaik untuk PBB dan GPS ialah peralihan berperingkat, bukan pengosongan mengejut.

Uggah dan Rundi masih mempunyai peranan penting dalam politik Sarawak. Uggah, sebagai Timbalan Premier Sarawak, mempunyai pengalaman panjang di peringkat Persekutuan dan negeri.

Rundi pula berperanan dalam portfolio negeri yang penting, termasuk industri makanan, komoditi dan pembangunan wilayah, menurut senarai rasmi barisan menteri Sarawak. Mereka masih mewakili kesinambungan, pengalaman dan kestabilan.

Namun pada masa sama, mereka juga dijangka menjadi jambatan kepada kepimpinan muda Dayak, bukan tembok yang menghalang mobiliti politik generasi baharu.

Cabaran PBB

Cabaran utama PBB adalah untuk memastikan kepimpinan Dayak terus relevan dalam landskap Sarawak yang berubah. Generasi muda Dayak hari ini tidak hanya bercakap tentang identiti etnik, tetapi juga pendidikan, pekerjaan, teknologi, tanah adat, kemudahan digital, keusahawanan, alam sekitar dan mobiliti sosial.

Mereka mahu pemimpin yang memahami rumah panjang, tetapi juga mampu membaca data pembangunan.

Mereka mahu pemimpin yang menghormati adat, tetapi juga boleh berhujah tentang dasar awam, peruntukan infrastruktur, ekonomi hijau dan transformasi digital.

Maka regenerasi Dayak tidak boleh sekadar bermaksud menggantikan tokoh lama dengan nama baharu daripada jaringan lama. Ia mesti membawa peningkatan mutu kepimpinan.

BANDAR Kapit.

Legitimasi politik

GPS juga perlu berhati-hati agar peralihan ini tidak dilihat sebagai pengurangan suara Dayak dalam struktur kuasa Sarawak. Dalam realiti politik negeri, representasi Dayak tetap penting kerana ia menyentuh keseimbangan etnik, legitimasi pedalaman dan kestabilan GPS sebagai gabungan Sarawak yang luas.

Jika Nanta berundur daripada Parlimen, GPS perlu memastikan bahawa penggantinya bukan sahaja kuat di Kapit, tetapi juga mampu menyumbang kepada wacana nasional.

Kapit memerlukan Ahli Parlimen yang bukan sekadar menjaga kawasan, tetapi mampu menjadikan isu pedalaman Sarawak sebagai agenda Persekutuan.

Pembaharuan imej

Pada peringkat lebih luas, langkah Nanta boleh memberi GPS peluang memperbaharui imej. GPS sering dilihat sebagai gabungan yang stabil, pragmatik dan dominan.

Namun dominasi yang terlalu lama boleh membawa risiko persepsi selesa, tertutup dan kurang memberi ruang kepada pelapis.

Pengunduran tersusun tokoh senior boleh menangkis persepsi itu. Ia menunjukkan bahawa GPS bukan gabungan yang beku, sebaliknya mampu merancang pewarisan kuasa secara matang.

Dalam konteks ini, Nanta boleh menjadi contoh pemimpin veteran yang memahami masa politik iaitu tahu apabila mempertahankan kedudukan, tahu apabila memberi ruang, dan lebih tahu masa untuk menukar medan perkhidmatan.

Namun pembaharuan yang benar memerlukan lebih daripada pertukaran calon. GPS mesti membina sistem pelapis Dayak yang lebih tersusun melalui latihan kepimpinan, pendedahan dasar awam, pengalaman pentadbiran, jaringan akar umbi dan keupayaan komunikasi moden.

Calon muda tidak boleh hanya dipilih kerana setia kepada pemimpin lama. Mereka mesti diuji dari segi integriti, kecekapan, keberanian membawa isu rakyat dan kemampuan merapatkan jurang antara pembangunan negeri dengan keperluan komuniti pedalaman.

Rumusan

Ternyata pengumuman Nanta adalah bukti GPS membuktikan kematangan politiknya. Jika diurus dengan baik, ia boleh menjadi naratif pembaharuan kepimpinan Dayak yang tersusun, bukan krisis pewarisan.

Nanta mungkin tidak benar-benar keluar daripada politik, tetapi sedang bergerak ke fasa baharu yang lebih dekat dengan pentadbiran negeri. Uggah dan Rundi pula tidak semestinya perlu berundur segera, tetapi harus memainkan peranan sebagai pembimbing dan pembuka laluan kepada generasi baharu.

Cabaran GPS ialah memastikan peralihan ini melahirkan pemimpin Dayak yang lebih segar, teknokratik, berakar umbi dan mampu membawa suara pedalaman Sarawak ke pentas nasional.

Dalam politik Sarawak yang semakin strategik, kekuatan sebenar bukan hanya pada tokoh lama, tetapi pada kemampuan melahirkan pelapis yang boleh menyambung legasi sambil menjawab tuntutan zaman baharu.

Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.

Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Pasang surut industri getah Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.