Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • DUN: SEDC diperkasa selaras aspirasi ekonomi baharu Sarawak
  • SEMASA

DUN: SEDC diperkasa selaras aspirasi ekonomi baharu Sarawak

Utusan Sarawak 8 hours ago
TIMBALAN Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini bagi memperkukuh serta memodenkan peranan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) selaras dengan perkembangan ekonomi semasa negeri ini.

RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Kedua Kewangan dan Ekonomi Baharu serta Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan.

Menurut beliau, pindaan itu bertujuan memastikan ordinan sedia ada yang telah diguna pakai sejak hampir tujuh dekad terus relevan dalam mendukung aspirasi pembangunan ekonomi Sarawak yang semakin berkembang dan kompleks.

Katanya, Ordinan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak [Bab 35 Edisi 1958] menyediakan peruntukan berkaitan penubuhan, kuasa, fungsi serta tanggungjawab SEDC termasuk perkara berkaitan pengurusan dan pentadbirannya.

“Namun, Sarawak hari ini telah banyak berubah. Ekonomi negeri semakin berkembang dan aspirasi kita jauh lebih besar berbanding ketika undang-undang ini diperkenalkan pada 1957,” katanya ketika membentangkan RUU tersebut pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Beliau berkata, sejarah perundangan SEDC bermula melalui Ordinan Perbadanan Kewangan Pembangunan 1957 sebelum distruktur semula pada 1971 menerusi Ordinan Penyusunan Semula dan Pembentukan Semula Perbadanan Kewangan Pembangunan Sarawak.

Katanya, langkah itu membawa kepada penjenamaan semula institusi tersebut sebagai SEDC serta memastikan kesinambungan semua aset, projek, hak dan kuasa di bawah entiti terdahulu.

Tambah beliau, ordinan itu kemudiannya dipinda beberapa kali termasuk pada 1976, 1979, 1984 dan 1996 sebelum dicetak semula pada 2009 yang kekal sebagai versi semasa.

“Pindaan ini bukan sekadar proses pentadbiran biasa, tetapi langkah penting dan tepat pada masanya bagi memastikan SEDC kekal responsif, relevan dan berkeupayaan mendukung agenda pembangunan ekonomi masa depan Sarawak,” katanya.

Antara cadangan utama dalam pindaan tersebut termasuk menukar nama Ordinan Utama kepada Ordinan SEDC bagi memperkukuh identiti dan pengiktirafan institusi itu di peringkat tempatan serta antarabangsa.

RUU itu turut mencadangkan penggantian jawatan ‘Pengurus Besar’ kepada ‘Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan’ bagi mencerminkan struktur operasi SEDC yang kini mengendalikan pelbagai subsidiari dan kepentingan komersial.

Selain itu, definisi baharu bagi jawatan Setiausaha turut diperkenalkan bagi memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan akauntabiliti dan ketelusan pentadbiran.

Keanggotaan perbadanan juga dicadang diperluas dengan melibatkan kepakaran daripada pelbagai bidang berkaitan supaya SEDC lebih bersedia menghadapi cabaran landskap ekonomi moden.

Dalam pada itu, pindaan berkenaan turut memperkukuh kuasa dan fungsi SEDC khususnya berkaitan penubuhan syarikat bagi membolehkan perbadanan itu bergerak lebih fleksibel dan kompetitif dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau berkata, transformasi dan kemajuan tidak boleh dicapai melalui retorik semata-mata sebaliknya memerlukan tindakan termasuk memperbaharui undang-undang serta memperkukuh institusi sedia ada.

Oleh Norman B

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: DUN: RUU Lembaga Padi dan Beras mampu bantu kestabilan harga beras pada masa depan
Next: DUN lulus RUU pindaan SEDC perkukuh tadbir urus korporat Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.