
PETRA JAYA: Hak dan kepentingan rakyat tempatan khususnya melibatkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) perlu diberi perhatian dalam pelaksanaan pembangunan kawasan padi di Sarawak.

Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murum) berkata peruntukan yang membolehkan kerajaan negeri mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai ‘kawasan pembangunan padi’ amat penting bagi memastikan pembangunan industri padi dapat dirancang secara lebih tersusun dan strategik.
Bagaimanapun menurut beliau, pelaksanaannya perlu dilakukan secara inklusif supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati komuniti setempat tanpa menjejaskan kepentingan rakyat tempatan.
“Saya berharap dalam pelaksanaannya nanti, hak dan kepentingan rakyat tempatan khususnya berkaitan tanah NCR hendaklah sentiasa dihormati dan diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Kompleks DUN, hari ini.

Dalam pada itu, Wilson Nyabong Ijang (GPS-Pelagus) berkata pembangunan industri padi perlu memberi manfaat kepada komuniti luar bandar termasuk petani kecil, pemilik tanah adat dan penduduk kawasan pedalaman.
“Banyak kawasan luar bandar mempunyai potensi besar untuk pembangunan pertanian namun masih memerlukan sokongan dari segi infrastruktur, pembiayaan dan penyelarasan pembangunan.
“Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak dapat membantu menyusun pembangunan industri padi secara lebih teratur supaya komuniti luar bandar dapat diintegrasikan ke dalam ekosistem ekonomi yang lebih besar,” jelasnya.

Sementara itu, Chieng Jin Ek (GPS-Bukit Assek) berkata pembangunan industri padi juga perlu memastikan petani kecil dan komuniti luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan sektor tersebut.
“Bantuan teknikal, latihan dan peluang penyertaan dalam rantaian bekalan perlu diberikan secara lebih menyeluruh supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil oleh semua pihak.
“Pembangunan sektor padi bukan hanya bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan negeri, tetapi juga membantu meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat luar bandar,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah