
PETRA JAYA: Sektor pertanian di Sarawak tidak lagi boleh dilihat sebagai industri ‘3D’ iaitu kotor, berbahaya dan sukar seperti persepsi lama masyarakat terhadap bidang tersebut.

Menurut Dayang Noorazah Awang Sohor (GPS Lingga), pertanian masa kini perlu berubah menjadi industri ‘4D+’ yang didigitalkan, berdaya saing, dipacu data dan dinamik menerusi integrasi teknologi Revolusi Industri 4.0 termasuk pertanian pintar, sistem dron, pemantauan berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pertanian ketepatan.
“Hari ini, golongan muda bukan menolak kerja keras, tetapi mereka menolak industri yang dilihat tidak menawarkan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN, hari ini.

Sementara itu, Royston Valentine (GPS Tellian) berkata sektor pertanian di Sarawak perlu melalui transformasi besar-besaran daripada kaedah tradisional kepada industri agro moden berteraskan teknologi bagi menarik minat golongan muda menyertai bidang berkenaan.
“Dunia pertanian hari ini tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada pendekatan konvensional kerana sektor itu kini bergerak ke arah pertanian pintar dan pertanian ketepatan.
“Penggunaan teknologi seperti AI, Internet Benda (IoT), dron pertanian dan automasi mampu meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengurusan sektor makanan negeri.
“Tellian yakin lembaga ini bakal menjadi pemangkin utama kepada transformasi sektor pertanian Sarawak ke arah industri agro moden berteknologi tinggi selari dengan agenda digitalisasi dan ekonomi baharu yang sedang dipacu kerajaan Sarawak ketika ini,” jelasnya.
Tambah beliau, perubahan tersebut penting supaya golongan muda melihat pertanian sebagai industri masa depan yang mempunyai potensi ekonomi besar dan mampu melahirkan lebih ramai ‘agropreneur’ moden di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Yakub Arbi (GPS Balingian) berkata penggunaan teknologi moden seperti digital agrikultur, pertanian ketepatan, dron dan sistem pengairan pintar perlu dijadikan sebahagian daripada agenda transformasi pertanian Sarawak.
“Pendekatan tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi, malah menjadikan sektor pertanian lebih moden, berdaya saing dan menarik minat generasi muda untuk kembali menceburi bidang agro,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah