

BINTANGOR: Kerja pemuliharaan Sungai Kijang serta sungai dan anak Sungai Tulai di kawasan Koperasi Tulai dan Jalan Tulai telah siap dilaksanakan sepenuhnya bagi meningkatkan sistem saliran dan mengurangkan risiko hakisan banjir di kawasan terlibat.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, projek pemuliharaan tersebut penting dalam memastikan kesejahteraan penduduk dan melindungi kawasan sekitar daripada masalah hakisan dan limpahan air.
Katanya, lawatan tapak dan pengesahan siap kerja bagi projek pemuliharaan Sungai Kijang telah diwakili oleh Wong Soon Mee dari Pusat Khidmat Parlimen Sarikei selaku wakil beliau bersama Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarikei, Awangku Shahmim.


“Selain itu, satu lagi lawatan tapak turut diadakan bagi pengesahan siap kerja pemuliharaan sungai dan anak Sungai Tulai di kawasan Koperasi Tulai serta Jalan Tulai bersama Penolong Jurutera DID Sarikei, Aneves Lang.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pelaksanaan projek berkaitan pemuliharaan sungai dan sistem saliran kerana ia amat penting bagi menjaga keselamatan serta kesejahteraan penduduk,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, kerajaan akan terus memantau dan melaksanakan projek berkaitan kemudahan asas dan infrastruktur demi memastikan pembangunan luar bandar dapat diperkasakan secara berterusan.
Beliau turut berharap projek yang telah siap dilaksanakan itu dapat memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat dan meningkatkan tahap keselamatan kawasan sekitar.
Oleh Earl Anek