Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • 4 dekad Fauziah Latiff: Kembara kejujuran, nostalgia malar segar
  • HIBURAN

4 dekad Fauziah Latiff: Kembara kejujuran, nostalgia malar segar

Utusan Sarawak 4 hours ago
HAMPIR 3,000 peminat membanjiri ruang dewan dengan majoritinya berbusana putih sebagai simbol penyatuan dan sokongan terhadap penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu-lagu balada romantis itu.

KUALA LUMPUR: Tempoh empat dekad dalam dunia seni bukan sekadar angka, tetapi sebuah kembara yang sarat dengan esisod jatuh bangun, kenangan dan penghargaan yang kesemuanya disimpul kemas dalam konsert ‘4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert’, baru-baru ini.

Berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),  Fauziah Latiff, 56, atau lebih mesra disapa Kak Gee, merangkumkan seluruh perjalanan seninya dalam sebuah persembahan penuh emosi, penghayatan dan nostalgia yang mengimbau hubungan eratnya dengan peminat sejak awal kemunculan.

Hampir 3,000 peminat membanjiri ruang dewan dengan majoritinya berbusana putih sebagai simbol penyatuan dan sokongan terhadap penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu-lagu balada romantis itu.

Seawal kemunculan di pentas, Fauziah memilih untuk mendakap kerendahan hati, mengakui  malam itu bukan tentang mengejar kesempurnaan teknikal tetapi berkenaan kejujuran seorang anak seni terhadap peminat yang setia bersama-samanya sejak era kaset lagi.

Mungkin (persembahan) ini tidak sempurna, tapi saya cuma berharap semua yang hadir malam ini dapat membawa pulang memori yang indah bersama-sama dengan saya,” katanya dalam nada sebak.

Persembahan yang berlangsung lebih dua jam itu membawa penonton menyusuri bab demi bab karier Fauziah menerusi untaian 22 lagu hit, antaranya Setiaku Korbankan, Tua Mengejar Kita, Enggan, Dia, Sahabat, Dari Kaki Tangga Ke Menara dan Teratai Layu di Tasik Madu.

Biarpun faktor usia menyaksikan vokal beliau tidak lagi seperti era kemuncaknya, Fauziah bijak menampung lompang itu dengan penghayatan yang cukup mendalam, menjadikan setiap baris lirik terasa lebih “bernyawa” dan terus ke lubuk hati penonton.

Gabungan susunan muzik yang lebih matang serta visual pentas LED yang sinematik turut memperkukuh keseluruhan persembahan, menjadikan setiap segmen terasa lebih tersusun, elegan dan bersifat penceritaan.

Penampilan Fauziah yang kekal anggun dalam empat persalinan rekaan Ezuwan Ismail turut menggamit memori, membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan beliau satu ketika dahulu.

Suasana dewan bertukar hangat apabila hampir keseluruhan penonton turut menyanyi bersama-sama, mengubah ruang plenari menjadi sebuah perjumpaan keluarga besar yang bersatu di bawah payung melodi malar segar dendangan beliau.

Antara momen paling mencuri tumpuan ialah ketika Fauziah menyampaikan lagu Enggan, yang diakui sebagai antara karya paling mencabar untuk dinyanyikan secara langsung, namun tetap dilunaskan dengan penuh emosi.

MALAM istimewa itu turut diserikan dengan kehadiran “Raja Pop” Datuk Jamal Abdillah yang tampil berduet menerusi lagu Kehebatan Cinta.

“Masya-Allah, bergetar lutut, lagu ini memang lagu ‘bunuh diri’ (susah), dari dulu penerbit pun tahu. Lagu ini memang paling takut sedunia untuk saya nyanyikan,” katanya, disambut sorakan peminat.

Malam istimewa itu turut diserikan dengan kehadiran “Raja Pop” Datuk Jamal Abdillah yang tampil berduet menerusi lagu Kehebatan Cinta, selain sokongan rakan-rakan seperjuangan seperti Ziana Zain, Liza Hanim, Rozita Che Wan, Amylea Azizan dan Azah Aziz.

Tanpa bersandar pada gimik berlebihan, konsert ini membuktikan  kekuatan sebenar seorang penghibur terletak pada keupayaan berkongsi rasa dan kejujuran.

Fauziah Latiff berjaya membuktikan biarpun masa terus beredar, memori dan rasa yang ditinggalkan menerusi karyanya akan tetap kekal abadi merentas generasi.- Bernama

Continue Reading

Previous: The Beatles buka muzium rasmi pertama di London

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.