Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Dana pembiayaan Bumiputera TEKUN Nasional ditingkatkan kepada RM1 bilion – Sim
  • NASIONAL

Dana pembiayaan Bumiputera TEKUN Nasional ditingkatkan kepada RM1 bilion – Sim

Utusan Sarawak 8 hours ago
MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim (dua, kiri) bersama penerima Anugerah Keunggulan TEKUN Hassan Anuar (dua, kanan) pada Majlis Apresiasi TEKUN Nasional 2026 malam tadi. Turut sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani (kiri). Foto BERNAMA

BANGI: Dana pembiayaan Bumiputera di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional), dinaikkan daripada RM500 juta kepada RM1 bilion, menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.

Beliau berkata kerajaan memutuskan untuk meningkatkan jumlah pembiayaan itu, selepas sambutan menggalakkan terhadap skim berkenaan yang sebelum ini dinaikkan daripada RM300 juta kepada RM500 juta.

“Ini sebahagian daripada usaha PowerUp 10K KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) untuk memperhebat perniagaan Malaysia.

“Kita mahu supaya lebih banyak suntikan dana ke dalam sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta TEKUN Nasional yang merupakan antara agensi penting di bawah KUSKOP,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi TEKUN Nasional 2026 di sini semalam.

Sim berkata peningkatan pembiayaan itu, dijangka dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan serta mendepani pelbagai krisis global yang memberi kesan kepada sektor berkenaan.

“RM1 bilion ini kita akan dapat bukan sahaja membantu para usahawan berdepan dengan cabaran-cabaran geopolitik dan geoekonomi, malah membantu mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka,” katanya.

Inisiatif PowerUp 10K yang dilaksanakan KUSKOP, bertujuan membantu usahawan PMKS meningkatkan perniagaan dalam keadaan ketidaktentuan global.

Sim sebelum ini berkata kerajaan memperuntukkan pembiayaan sehingga RM15 bilion ke dalam pasaran, bagi menyokong peningkatan skala kira-kira 10,000 syarikat PMKS, selaras dengan usaha memperkasakan ekonomi rakyat.

MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim (dua kiri) bersama penerima Anugerah Keunggulan TEKUN Suhaily Raini Md Hamdan (dua kanan) pada Majlis Apresiasi TEKUN Nasional 2026 malam tadi. Turut sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abd Ghani (kiri). Foto BERNAMA

Dalam perkembangan sama, beliau juga berkata kerajaan dijangka menyalurkan keseluruhan dana tersebut (RM15 bilion) melalui agensi di bawah KUSKOP pada 2026, bagi memberi manfaat kepada 400,000 usahawan dan koperasi di seluruh negara.

Beliau berkata TEKUN Nasional akan turut diperkasakan melalui peruntukan besar tersebut, agar ia dapat terus memainkan peranan penting dalam agenda memperkasa PMKS negara.

“Sejak 1 Januari hingga 30 April tahun ini, TEKUN Nasional telah menyalurkan sekitar RM360 juta kepada hampir 20,000 usahawan PMKS,” katanya.

Pada majlis itu, Sim turut meraikan dedikasi dan sumbangan warga TEKUN Nasional dalam memperkasakan perniagaan di Malaysia.

Sebanyak lima kategori anugerah disampaikan kepada 247 penerima iaitu Anugerah Jasamu Dikenang, Anugerah Khidmat Setia, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Kecemerlangan TEKUN dan Anugerah Pencapaian 2025.

Turut hadir Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, Timbalan Menteri KUSKOP Datuk Mohamad Alamin serta Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud. – Bernama

Continue Reading

Previous: Jururawat kerjaya mulia, pengorbanan bernilai buat rakyat dan negara – PM Anwar
Next: Tengku Hassanal mulakan pendakian Gunung Kinabalu sempena Ekspedisi Mahkota Borneo

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.